Jangan seperti tak cukup adab di Parlimen, Wanita Amanah tegur penyokong kerajaan

Jangan seperti tak cukup adab di Parlimen, Wanita Amanah tegur penyokong kerajaan

Siti Mariah berkata perbuatan menjerit-jerit ketika di Parlimen memperlihatkan kurang adab seseorang wakil rakyat.

Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud dan presiden parti itu Mohamad Sabu pada sidang media selepas majlis perasmian konvensyen nasional sayap wanita Amanah, semalam.
BANGI:
Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud menegur sikap sesetengah wakil rakyat kerajaan yang dilihat kurang beradab ketika bersidang di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, perbuatan menjerit-jerit di Parlimen memperlihatkan kurang adab seseorang wakil rakyat.

“Baik ahli Parlimen atau Adun kerajaan, jangan bertelagah. Bawa akhlak yang baik dalam Parlimen. Jangan menjerit, macam tak cukup adab saja. Minta maaflah (saya cakap begini).

“Dulu masa kita jadi pembangkang, orang tak nak dengar cakap kita. Sekarang ini pembangkang macam kita dulu jugalah, tapi kita tak boleh begitu. Adalah seorang dua yang kalau kita tengok pun pening kepala,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian konvensyen nasional Wanita Amanah di sini, semalam.

Ketika menyampaikan ucapannya, Siti Mariah, yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor menyifatkan sebahagian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) terlebih berjanji ketika berkempen kerana tidak memahami sistem ekonomi dan pentadbiran negara.

“Sistem ekonomi dan pentadbiran, kena faham. Dulu kita banyak tak faham. Itu sebabnya bila berceramah, (kita cakap) ‘hari ini kita menang, esok kita akan batalkan semua tol’. Siapa yang cakap macam itu tak faham ekonomi. Cakap berdegar-degar, semua dia nak bagi percuma.

“Saya amati ceramah-ceramah itu, bila dengar hati saya ‘gedebuk’ di sini. Tak boleh (hapus tol), mustahil,” katanya.

Mengulas lanjut, Siti Mariah yang tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti kali ini mengakui individu yang tidak pernah duduk dalam pentadbiran (kerajaan) tidak melihat realiti ketika berjanji.

Pada sidang media sama, ketika diminta mengulas hasil kajian Indeks Kerisauan Nasional (NWI) yang mendapati kebimbangan rakyat kini berada pada tahap maksimum, Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengakui penerangan PH kepada akar umbi tidak sehebat sebelum pilihan raya umum ke-14 sebelum ini.

“Banyak penerangan kita belum sampai ke bawah seperti kita buat gerakan sebelum pilihan raya dulu. Jadi kita mesti hidupkan balik. Penerangan kerajaan dan penerangan yang dilancarkan parti yang mendukung kerajaan. Ini perlu dipergiatkan.

“Saya yakin apabila penerangan ini sampai kepada rakyat, rakyat akan mempertimbangkan tohmahan-tohmahan yang dibuat (terhadap PH) selama ini,” katanya.

Menyentuh soal rakan pertelagahan dalam kalangan parti komponen PH, Mohamad berkata gabungan kerajaan itu akan cuba mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.