Warga Indonesia cipta helikopter stres harga minyak naik, jalan sesak

Warga Indonesia cipta helikopter stres harga minyak naik, jalan sesak

Seorang lelaki di Indonesia sanggup mengeluarkan kos lebih RM8,000 untuk mencipta helikopter kerana stres dengan kesesakan dan harga petrol.

Masalah kesesakan lalu lintas dan kenaikan harga petrol menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Berikutan itu, ramai yang mulai mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan kos supaya boleh berjimat dan mempunyai simpanan untuk masa hadapan.

Menurut laporan AFP, terdapat seorang lelaki di Indonesia membuat keputusan untuk membina helikopter sendiri kerana tidak tahan dengan kesesakan lalu lintas sehingga mencapai 110 kilometer.

Jujun Junaedi, 42, dari Sukabumi, Jawa Barat menghabiskan masanya untuk merealisasikan ideanya berpandukan video pembelajaran.

“Ia sangat mengecewakan. Anda kehabisan petrol dan membuang masa. Akhirnya anda tidak tahu hendak ke mana,” katanya menceritakan tentang kesesakan di selatan ibu negara Jakarta.

Tambahnya lagi, sejak pembinaan helikopter 18 bulan lalu, Junaedi telah membelanjakan kira-kira AS$2,100 (RM8,763) untuk membeli komponen dan barangan terpakai dari kedai membaiki kereta.

“Asalkan ia boleh terbang, saya sudah cukup puas hati,” kata Junaedi.

Junaedi bukanlah orang pertama yang cuba membina sebuah pesawat kerana dua tahun lalu seorang lelaki dari Afrika Selatan menggunakan kepingan besi untuk menghasilkan sebuah replika helikopter polis.

Malah usaha seorang petani dari China juga menjadi tajuk utama pada 2016 selepas dia menghabiskan masa selama tiga tahun untuk membina helikopter sendiri namun gagal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.