
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata kedua-dua individu itu mempunyai 14 hari, bermula semalam, untuk mengemukakan rayuan.
“Apa jua keputusan akan diumumkan bila tiba waktunya nanti.
“PKR tidak akan berkompromi dengan rasuah, lebih-lebih lagi jika ada kepimpinan yang terlibat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Semalam, Zakaria bertegas dirinya masih ahli parti itu selagi tidak menerima surat pemecatan daripada PKR Pusat dan mendesak parti menarik balik keputusan memecatnya kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendakwanya disebabkan kes terhadapnya sudah selesai.
Pada 24 Nov lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan Zakaria dan Ismail kerana terbabit dalam rasuah pada pemilihan parti tahun lalu.
Katanya, PKR menerima surat dan bukti kukuh daripada SPRM pada 23 Okt lalu yang mengesyorkan parti itu mengambil tindakan tatatertib ke atas 2 ahli terbabit.
Isnin lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, ketua cawangan laporan SPRM terkhilaf mencadangkan tindakan tatatertib terhadap Zakaria dan Ismail kerana agensi anti-rasuah itu hanya perlu menghantar laporan salah laku kepada agensi kerajaan atau kementerian, bukannya parti politik.