Lelaki Indonesia sebak rayu mahkamah kurang ikat jamin demi jaga 3 anak

Lelaki Indonesia sebak rayu mahkamah kurang ikat jamin demi jaga 3 anak

Muhammad Yusuf mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mencederakan anaknya berusia 9 tahun kerana membawa pulang makanan dimasaknya untuk jamuan sekolah tanpa dijamah guru dan pelajar.

Majistret membenarkan Muhammad Yusuf (tengah) diikat jamin RM4,000 dengan 2 penjamin rakyat Malaysia dan memerintahkan dia melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan. (Gambar Bernama)
TEMERLOH:
Seorang warga Indonesia sebak semasa meminta mahkamah mengurangkan jaminan terhadapnya yang didakwa mencederakan anak perempuannya minggu lalu.

Muhammad Yusuf, 47, memberitahu Majistret Ti Pei Si, dia menjaga 3 anaknya dengan baik selepas mendapat hak penjagaan susulan perceraian dengan isterinya sejak 2015.

“Saya mohon dikurangkan jaminan kerana saya mahu dijamin. Sepanjang saya menjaga anak, tidak pernah berlaku masalah. Tolonglah kurangkan jamin kerana saya hanya kerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu.

“Harap mahkamah pertimbangkan rayuan saya. Saya bekerja untuk menanggung anak-anak. Saya mahu dijamin kerana semua anak saya yang jaga,” katanya pada prosiding di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Muhammad terdahulu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan anaknya yang berusia 9 tahun, Arisya Dania pada 4 petang 22 Nov lalu di sebuah rumah di Taman Setia Jasa di sini.

Dia yang memiliki pas residen negara ini, didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mengikut Seksyen 323, dia boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara 2 kali ganda tempoh maksimum di bawah Seksyen 323.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM8,000 dengan 2 penjamin rakyat tempatan yang bukan terdiri daripada saksi pendakwaan beserta syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa.

Ti selepas mempertimbangkan rayuan itu, menetapkan jaminan RM4,000 dengan 2 penjamin rakyat Malaysia dan membenarkan syarat dimohon pihak pendakwaan, selain memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Beliau juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Dis ini.

Pada 22 Nov lalu, seorang lelaki dilaporkan memukul anak bongsunya kerana membawa pulang makanan dimasaknya untuk jamuan di sekolah tanpa dijamah guru dan pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.