
Pemimpin tersebut yang enggan dikenali berkata, pengerusi tetap Mizan Adli Mohd Noor dan timbalan beliau Mohd Ramly Ahmad mempunyai peranan penting dalam kongres yang dijadualkan itu.
“Mereka antara lain bertanggungjawab mengendalikan kongres dan meluluskan resolusi dan kenyataan lepas,” katanya kepada FMT.
Beliau menyuarakan kebimbangan penyingkiran itu akan menyebabkan emosi menguasai acara berkenaan dengan berkata, perselisihan dalam sayap Pemuda parti itu semakin melebar dan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggotanya juga tinggi.
“Saya berharap kongres akan berjalan lancar kerana jika rasa tidak puas hati terus meningkat, keadaan boleh menjadi buruk.”
Surat bertarikh 27 Nov yang ditandatangani oleh setiausaha Pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razak menyebut bahawa parti membatalkan kedudukan Mizan dan Ramly kerana umur mereka melebihi 35 tahun.
Surat itu juga menyebut mereka menerima jumlah undi melebihi bilangan perwakilan ke kongres Pemuda tahun lepas.
Pemimpin PKR itu berkata, apa-apa langkah untuk menggantikan 2 pemimpin Pemuda itu sepatutnya dilakukan lama sebelum ini.
Beliau berkata, justeru perkara itu tidak dilakukan maka mereka sepatutnya dibenarkan memegang jawatan masing-masing sehingga kongres tamat, dan satu usul untuk menggantikan mereka dibuat dalam kongres tersebut.
Pertelingahan antara kumpulan penyokong presiden PKR Anwar dan timbalannya Azmin terlihat dalam beberapa insiden, termasuk berkaitan pemimpin yang akan dijemput untuk merasmikan kongres pemuda.
Di Sarawak, konvensyen PKR negeri itu diadakan tanpa kehadiran pengerusinya Baru Bian yang berkata, acara tersebut dibatalkan sehingga kepimpinan pusat menyelesaikan isu tentang individu yang seharusnya merasmikan kongres pemuda itu.
Mizan dan Ramly menuntut penyelesaian berkait pemecatan mereka, sekali gus menggesa Biro Politik PKR menyiasat isu berkenaan.
Mereka juga mengingatkan bahawa pendaftaran parti boleh dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan.