Jerman rancang haram penuh aktiviti Hezbollah

Jerman rancang haram penuh aktiviti Hezbollah

Jerman sebelum ini hanya mengharamkan aktiviti sayap tentera Hezbollah di negara itu.

Berlin merancang untuk mengharamkan cabang politik Hezbollah daripada beroperasi di Jerman susulan persetujuan yang dicapai antara Kementerian Luar, Kementerian Kehakiman dan Kementerian Dalam Negerinya.
BERLIN:
Kerajaan Jerman merancang untuk mengharamkan sepenuhnya semua aktiviti kumpulan Hezbollah yang berasal dari Lubnan di negara itu selepas mengharamkan sayap tenteranya sebelum ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik majalah berita berpangkalan di Hamburg, Der Spiegel, pada Khamis.

Majalah itu, yang memetik kenyataan pegawai kerajaan berkata, Berlin merancang untuk mengharamkan cabang politik kumpulan tersebut daripada beroperasi di Jerman susulan satu persetujuan yang dicapai minggu lepas antara Kementerian Luar, Kementerian Kehakiman dan Kementerian Dalam Negeri.

Satu keputusan muktamad dijangka dibuat awal minggu depan pada persidangan menteri-menteri dalam negeri Jerman.

Akibatnya, anggota dan aktiviti Hezbollah di Jerman akan dilayan seperti kumpulan pengganas, iaitu Parti Pekerja-Pekerja Kurdistan (PKK) atau Daesh.

Di Lubnan, Hezbollah diiktiraf sebagai sebuah parti politik utama dan memainkan peranan penting dalam struktur kuasa yang kompleks di negara itu.

Kesatuan Eropah (EU) hanya mengharamkan sayap tentera Hezbollah, jadi kumpulan itu masih dibenarkan melakukan “usaha-usaha politik.”

Pengharaman sepenuhnya kumpulan itu di seluruh EU gagal di Brussels, terutama selepas ditentang oleh Perancis.

Hasilnya, Menteri Luar Jerman Heiko Maas menggesa agar Hezbollah diharamkan di bawah Akta Persatuan negara itu.

Menurut laporan Der Spiegel, menteri kehakiman memberi kuasa kepada Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan pada September untuk melancarkan siasatan ke atas aktiviti Hezbollah di Jerman tanpa perlu mendapatkan keizinannya terlebih dahulu.

Desakan agar Hezbollah diharamkan sepenuhnya semakin meningkat sejak kebelakangan ini, terutama oleh Duta Amerika Syarikat ke Jerman, Richard Grenell, yang meningkatkan tekanan ke atas Berlin menerusi Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.