
Katanya, kerajaan juga akan menuntut wang yang sudah dibayar, jika ia membatalkan pembelian helikopter itu.
“Kabinet akan buat keputusan akhir sama ada tamatkan pembelian atau teruskan. Jika tamatkan, kita akan pastikan wang yang telah dibayar dapat dikembalikan dan jika diteruskan, kita akan pastikan pihak syarikat dapat memenuhi segala perjanjian yang termaktub dalam kontrak.
“Sebarang tindakan terhadap syarikat dan mereka yang berkaitan akan diambil sewajarnya selepas keputusan terhadap hala tuju perolehan ini dibuat,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan lisan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai status tindakan kerajaan terhadap semua pihak terlibat dalam pembelian 6 helikopter tempur ringan MD530G.
Difahamkan, 6 helikopter itu yang dikeluarkan MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, dipesan Kementerian Pertahanan di bawah pimpinan Hishammuddin Hussein pada 2015.
Mei lalu, FMT mendedahkan 6 helikopter tempur ringan itu dibeli melalui ejen yang dikaitkan dengan pegawai kanan Kementerian Pertahanan.
Dua helikopter itu sepatutnya diterima pada Julai 2017, manakala 4 lagi pada Disember 2018, tetapi ia belum diterima sehingga kini, walaupun kerajaan sudah membayar RM112.65 juta atau 35% daripada jumlah keseluruhan pembelian itu.
Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, Kabinet akan membuat keputusan berhubung pembelian 6 itu sebelum akhir tahun ini.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan sudah menerima laporan dan pandangan bahagian dasar kementerian itu dan Jabatan Peguam Negara.