Wajib CRS: Kerajaan diminta timbang semula keputusan

Wajib CRS: Kerajaan diminta timbang semula keputusan

Rata-rata ibu bapa mengakui keputusan itu baik untuk keselamatan, namun membebankan bagi keluarga yang kurang berkemampuan selain menyebabkan ruang dalam kenderaan menjadi terhad.

Kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) bermula 1 Januari 2020. 
PETALING JAYA:
Rata-rata ibu bapa tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan berkuatkuasa 1 Jan 2020.

Mereka menyifatkan keputusan itu membebankan dari segi kewangan lebih-lebih lagi yang mempunyai bilangan anak ramai, sambil berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Seorang kakitangan awam, Mohd Hazmi Abdullah, 32, berkata meskipun penggunaan CRS bertujuan untuk keselamatan, namun ia terlalu membebankan keluarganya.

“Saya tak setuju wajibkan guna CRS, bukan CRS tak bagus… sangat bagus, tapi untuk taraf hidup rakyat macam saya ini, tak mampu. Saya hanya ada kereta biasa bukan kereta besar.

“Sekarang saya sendiri ada dua orang anak dan bakal lahir seorang lagi tahun depan. Saya perlu sediakan tiga CRS kalau ikut undang-undang, tapi CRS makan ruang dan bukan murah,” katanya kepada FMT.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penggunaan CRS dalam kenderaan diwajibkan bermula 1 Januari depan bagi mengelakkan kecederaan serius jika berlaku kemalangan.

Menurut Mohd Hazmi, kerajaan sepatutnya mengenakan hukuman yang berat kepada mana-mana pihak yang menyebabkan kemalangan bagi memastikan semua pemandu lebih berhati-hati, bukannya menekan ibu bapa dengan peraturan seumpama itu.

Sementara itu, seorang suri rumah, Maya Abdullah, 32, berkata masalah utama CRS adalah penggunaan ruang dalam kenderaan, terutama mereka yang memiliki anak ramai.

“Anak saya empat orang setakat ini, ada kereta (Produa) Viva sahaja. Kalau tak pakai CRS pun dah sempit, macam mana nak letak sampai 4 CRS?

“Kalau suami saya memandu, empat CRS untuk empat anak, saya nak duduk mana? Kami belum mampu nak beli kereta lebih besar,” katanya.

Bagi Siti Aisyah Jumat, 32, yang juga seorang suri rumah, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk mewajibkan penggunaan CRS kepada bayi sahaja, bukan kepada semua kanak-kanak.

“Pada saya untuk permulaan ini, penggunaannya diwajibkan terhadap bayi masih relevan dan yang sudah besar boleh guna tali pinggang keselamatan.

“Kalau dah besar kena guna CRS, sebagai ibu, saya rasa memang membebankan. Anak saya empat orang sekarang, saya tak boleh ikutlah kalau semua anak pakai CRS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.