
Noh Omar (BN-Tanjong Karang) bagaimanapun berkata, beliau mungkin berbuat demikian sebagai tindak balas kepada RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memanggilnya “bodoh”.
“Kalau saya cakap, mungkin saya tak sedar apa yang saya cakap.
“Saya tengok balik video itu, sebelum saya mengeluarkan kata-kata yang disuruh tarik balik, saya boleh tarik tak ada masalah, tetapi apa punca saya keluarkan kata-kata tersebut, apabila Jelutong tiba-tiba menengking saya dengan perkataan `stupid, stupid’.
“Pada masa itu, saya tengah bercakap, (dia) terus bangun kata saya `stupid’, jadi saya pun tak sedar apa saya cakap,” kata bekas menteri itu selepas speaker Mohamad Arif Yusoff mahu memastikan sama ada benar beliau menyebut perkataan kesat tersebut.
Semalam, Noh dan Rayer bertikam lidah selepas ahli Majlis Tertinggi Umno itu menimbulkan isu catatan Facebook 29 Sept oleh “Nga Kor Ming Superfans” yang menggesa rakyat berketurunan Cina yang kecewa dengan penurunan papan tanda jalan dwibahasa di Selangor supaya menunjuk perasan di depan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Rayer kemudian berkata, Noh patut mengikut peraturan mesyuarat, iaitu tidak menamakan sesiapa kerana polis juga sedang menyiasat ahli Parlimen Pekan, merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Noh kemudian memberitahu bahawa Dewan Rakyat telah dicemari dengan tindakan Rayer.
Beliau berkata, beberapa ahli Parlimen pembangkang sebelum ini telah diarah keluar dari dewan dan digantung, termasuk ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
“Tetapi kenapa Jelutong tidak digantung?” soalnya.
Noh berkata, beliau bersedia untuk menarik balik perkataan tersebut jika speaker lebih tegas selepas ini, dan mengarahkan Rayer keluar dari dewan sekiranya gagal mematuhi peraturan.
“Tak apalah, saya boleh tarik balik, tapi dalam masa sama, kalau dengar balik dalam video, yang jelas mengatakan `stupid stupid’ ialah Jelutong, kalau saya tarik balik Jelutong pun kena tarik balik,” katanya.
Ariff kemudian memberitahu dewan bahawa Noh sememangnya menyebut perkataan itu, dan mengarahkan beliau serta Rayer untuk menarik balik kenyataan mereka.
“Saya mengaku dan tarik balik beliau bukan `stupid’,” kata Rayer.
Noh bagaimanapun tidak berpuas hati dan mempersoalkan Rayer mengulangi perkataan “stupid” itu.
“Ini yang kurang ajar ini, kenapa ulang balik ‘stupid’? Sudah tarik, tariklah, jangan provok saya. Tolong jangan bagi saya maki lagi, “katanya.
Noh kemudian menarik balik perkataan kesat yang disebutnya semalam.
Dalam pada itu, Ariff membuat ketetapan untuk menggantung mana-mana ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan biadab, lucah, subjudis dan bertentangan dengan kemuliaan Parlimen.
Perkara itu diputuskan selepas mendapat persetujuan kesemua ahli Dewan Rakyat bagi memastikan keharmonian dalam sesi perbahasan.
“Saya ingin ikut cadangan ahli Parlimen Tanjung Karang, ada perkara-perkata yang tak boleh disebut, seperti ‘stupid’, bodoh, perkataan lucah.
“Kalau sesiapa sebut, kalau speaker dan timbalan speaker tegur, minta tarik balik… tapi tak tarik balik, akan disingkir keluar Dewan Rakyat untuk satu tempoh,” katanya.
Ahmad Maslan (BN-Pontian): Bolehkah pencuri perompak disebut dalam dewan ini? sebab Jelutong sering sebut.
Speaker: Saya dah banyak kali sebut tak boleh.
Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa): Jelutong sebut kami PAS makan duit rasuah Umno RM90 juta.
Speaker: Tak patut disebut itu.
Mastura Yazid (BN-Kuala Kangsar): Apakah perkara subjudis seperti isu 1MDB yang mana kes sedang berjalan boleh disebut di dewan ini?
Speaker: Bukan sahaja kes sedang berjalan di mahkamah, kes sedang disiasat pun tak boleh dibincangkan, kedua-dua pihak tak boleh bangkit.