Penunjuk perasaan bakar konsulat Iran di Najaf

Penunjuk perasaan bakar konsulat Iran di Najaf

Penunjuk perasaan menyerbu pekarangan dan membakar seluruh fasiliti konsulat Iran, namun petugas konsulat dipindahkan sebelum itu.

Iraq digegarkan tunjuk perasaan besar-besaran sejak awal Oktober bagi membantah keadaan hidup yang teruk dan gejala rasuah yang berleluasa. (Gambar AFP)
BAGHDAD:
Penunjuk perasaan Iraq pada Rabu membakar Konsulat Iran di Najaf, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Penunjuk perasaan menyerbu pekarangan dan membakar seluruh fasiliti, namun petugas konsulat dipindahkan sebelum itu, kata sumber polis yang enggan namanya disiarkan.

Pusat Perintah Operasi Najaf Iraq mengumumkan satu perintah berkurung, namun tidak menyatakan berapa lama ia akan berlangsung.

Pihak berkuasa memutuskan untuk menutup semua pintu keluar masuk ke Najaf untuk mengasingkan bandar itu dengan bahagian lain di Iraq sehingga keselamatan dan keamanan dipulihkan.

Seorang pegawai Hospital Najaf memaklumkan Anadolu bahawa sejumlah 32 penunjuk perasaan cedera dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan sebelum Konsulat Jeneral Iran dibakar.

Dalam perkembangan lain, pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan bertempur di wilayah Musenna, Qadisiyyah serta Ziqar dan berpuluh-puluh penunjuk perasaan cedera dilaporkan cedera.

Iraq digegarkan tunjuk perasaan besar-besaran sejak awal Oktober bagi membantah keadaan hidup yang teruk dan gejala rasuah yang berleluasa.

Penunjuk perasaan menuntut agar kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul-Mahdi dibubarkan.

Menurut Suruhanjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia Iraq, sekurang-kurangnya 346 rakyat Iraq terbunuh manakala 15,000 lagi cedera sejak tunjuk perasaan bermula pada 1 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.