Kartel China, jutawan Sarawak tukar Kemboja jadi hab jenayah, kata laporan

Kartel China, jutawan Sarawak tukar Kemboja jadi hab jenayah, kata laporan

Kompleks kasino membangun dengan begitu pesat di Kemboja, sekaligus menarik perhatian penjenayah yang mahu menjana keuntungan segera.

Ledakan pusat perjudian di meningkatkan kadar jenayah di Kemboja.
KUALA LUMPUR:
Pelaburan gergasi kasino China yang mempunyai kaitan dengan seorang jutawan dari Sarawak mengubah bandar Kemboja menjadi hab jenayah, eksploitasi dan pemusnahan alam sekitar, lapor Al Jazeera menerusi dokumentari penyiasatan terbarunya.

Program 101 East saluran berita itu dalam episod terbarunya yang mendokumentasikan ledakan kasino di Kemboja berkata, hartawan dari Sarawak yang bergelar Tan Sri dan memiliki syarikat perjudian disenaraikan di Hong Kong, terlibat membangunkan Sihanoukville sebagai hab perjudian, dengan beberapa kompleks kasino dibina begitu pesat.

“Kelajuan pembinaannya sukar dipercayai,” kata koresponden Al Jazeera, Adrian Brown.

“Tetapi, kami mendapati bukan semuanya sama seperti apa yang berlaku apabila anda melepasi lampu terang di bandar dan pencakar langit yang semakin banyak.”

FMT cuba mendapatkan reaksi hartawan yang dinamakan dalam program itu, yang akan disiarkan pada 6.30 pagi esok di Al Jazeera.

Walaupun menjanjikan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, ledakan kasino itu membawa bersama perkara yang dikaitkan dengan aktiviti perjudian, iaitu jenayah, eksploitasi dan pengubahan wang haram.

Laporan itu berkata, kartel China yang mempunyai sejarah dalam jenayah ganas, antara yang tertarik dengan bandar tersebut, dengan 100 kasino dirancang yang sebahagiannya sudah beroperasi.

Menurut laporan itu, ia sekaligus menarik perhatian penjenayah yang sentiasa mengintai peluang menjana keuntungan segera ke bandar tersebut, yang dilihat sedang berkembang menjadi “Las Vegas Timur”.

“Banyak yang menjadi kaya semalaman, sehingga menarik ramai pelabur China ke sini,” kata seorang ahli perniagaan China dipetik laporan itu.

Tahun lepas, polis menahan warga China di lapangan terbang Kemboja yang membawa beg pakaian beserta wang tunai, kata laporan itu.

Dalam kalangan rakyat tempatan, kebencian mereka terhadap kewujudan kasino “seperti cendawan tumbuh selepas hujan” itu semakin meningkat kerana ia menyebabkan harga hartanah melambung.

“Orang di sini tidak menyukainya,” kata seorang pemandu tuk tuk yang terpaksa tidur di dalam kenderaan kerana tidak mampu menyewa rumah.

“Masyarakat kita telah berubah. Di mana-mana saja terdapat kasino. Saya tidak gembira.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.