Jaringan Martinez, Lukaku hidupkan peluang Inter

Jaringan Martinez, Lukaku hidupkan peluang Inter

Kemenangan 3-1 Inter Milan ke atas Slavia Prague awal pagi tadi menghidupkan kembali peluang kelab Itali itu untuk merebut slot ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Inter Milan mengintai peluang ke pusingan 16 Liga Juara-Juara. (Gambar Reuters)
PRAGUE:
Dua gol Lautaro Martinez dan gol ke-250 Romelu Lukaku sepanjang kariernya, menghidupkan semula peluang Inter Milan untuk merebut tempat ke pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Slavia Prague awal pagi tadi.

Martinez meletakkan Inter di depan pada minit ke-19 selepas bergandingan dengan Lukaku yang menewaskan dua pertahanan Slavia di bahagian kanan kotak penalti.

Slavia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-37 apabila Stefan de Vrij menjatuhkan Peter Olayinka dan kapten Tomas Soucek mudah menyempurnakan tugas itu untuk menyamakan kedudukan.

Inter, yang dua kali percubaannya dikecewakan palang gol pada babak kedua, akhirnya memecah kebuntuan pada 10 minit terakhir apabila Lukaku mudah menyepak masuk ke pintu gol.

Gol bersejarah pemain Belgium itu adalah yang pertama buatnya dalam Liga Juara-Juara bersama Inter.

Martinez kemudian melengkapkan kemenangan buat kelab Itali itu pada minit ke-89, merembat voli kencang selepas satu lagi kerja keras Lukaku.

“Kami banyak meningkat berbanding perlawanan pertama menentang Slavia. Dua penyerang kami bermain dengan hebat malam ini.

“Kami hanya ada satu keputusan untuk menghidupkan peluang dan kami melakukannya. Kami sedar perlu berdepan pasukan hebat seperti Barcelona (pada aksi terakhir kumpulan di San Siro), tapi kami ada 80,000 penyokong untuk melonjakkan kami di sana,” kata pengurus Inter, Antonio Conte.

Barcelona mendahului Kumpulan F dengan 11 mata selepas menundukkan Borussia Dortmund 3-1 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Inter dan Dortmund terikat dengan tujuh mata, manakala Slavia tercorot dengan dua mata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.