FIC beli hotel RM160 juta tanpa kelulusan Lembaga Felda, kata saksi

FIC beli hotel RM160 juta tanpa kelulusan Lembaga Felda, kata saksi

Bekas setiausaha Lembaga Felda, Erwan Aman berkata, Kertas Laporan Kemajuan FIC hanya untuk melaporkan dan bukan untuk mendapatkan kelulusan pelaburan daripada Lembaga Felda.

FIC hanya membentangkan laporan kemajuannya mengenai pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites dalam mesyuarat Lembaga Felda pada 1 Dis 2014.
KUALA LUMPUR:
Bekas setiausaha Lembaga Felda memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini tiada permohonan dikemukakan ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) untuk mendapatkan kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPSH) di Kuching, Sarawak.

Erwan Aman, 44, berkata berdasarkan keputusan minit mesyuarat Lembaga Felda 321, pembentangan Laporan Kemajuan FIC pada 1 Dis 2014 yang dibuat bukan satu permohonan ahli lembaga pengarah FIC bagi mendapatkan kelulusan pelaburan pembelian MPHS daripada Lembaga Felda, sebaliknya hanya laporan kemajuan mengenai pelaburan FIC.

“Tidak ada sebarang permohonan untuk meratifikasi kelulusan pelaburan yang dibuat ahli lembaga pengarah FIC semasa mesyuarat Lembaga Felda berlangsung.

“Sepatutnya FIC mengemukakan kertas lembaga berasingan untuk memohon ratifikasi kelulusan pelaburan yang dibuat melebihi RM100 juta, khususnya berkaitan pembelian MPHS,” katanya ketika membaca penyataan saksi.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Nithtia pada hari ke-13 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta membabitkan MPHS bernilai RM160 juta yang dihadapi bekas pengerusi Felda, Isa Samad.

Erwan yang kini ketua Bahagian Modal Insan, Bahagian Latihan, Jabatan Sumber Manusia Felda, berkata Kertas Laporan Kemajuan FIC hanya untuk melaporkan dan bukan untuk mendapatkan kelulusan pelaburan daripada Lembaga Felda.

“Ia hanya untuk melaporkan kemajuan aktiviti pelaburan FIC untuk makluman Lembaga Felda. Sepatutnya, sebarang pelaburan melebihi RM100 juta oleh FIC hendaklah dibentangkan dengan mengemukakan kertas cadangan permohonan kelulusan pelaburan untuk kelulusan Lembaga Felda selaras keputusan Lembaga Felda dalam minit mesyuarat Lembaga Felda 303 pada 25 Jun 2016.

“Sama ada Lembaga Felda memutuskan untuk melulus atau tidak, kertas cadangan permohonan untuk kelulusan pelaburan itu harus dibentangkan kepada Lembaga Felda. Jika tiada sebarang kelulusan daripada Lembaga Felda, pembelian MPHS tidak mendapat kelulusan Lembaga Felda.”

Pada prosiding perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwaan yang juga pegawai tadbir Felda, Siti Salwani Mohd Salleh; pemangku ketua pegawai kewangan FIC, Azlan Mohamed Ismail; bekas pengarah besar Felda, Hanapi Suhada dan bekas ketua pegawai eksekutif, Mohd Zaid Abdul Jalil mengesahkan pembelian MPSH tidak mendapat kelulusan Lembaga Felda.

Erwan yang juga saksi pendakwaan ke-19, berkata Lembaga Felda mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan pelaburan bernilai RM100 juta ke atas.

“Bidang kuasa FIC tertakluk kepada keputusan Lembaga Felda walaupun ahli lembaga pengarah FIC dan Felda merupakan orang yang sama.”

Peguam, Salehuddin Saidin dalam pemeriksaan balas bertanya jika ada cara lain yang digunakan pihak pengurusan Felda untuk memberitahu FIC mengenai mandat pelaburan RM100 juta, Erwan menjawab: “Ada, melalui minit diberikan kepada pengurusan FICSB.”

“Saya perlu semak dahulu,” katanya apabila diminta Salehuddin untuk mengesahkan minit mesyuarat tersebut.

Saksi juga bersetuju dengan peguam, beliau hanya mengetahui ratifikasi pelaburan RM100 juta di atas kertas.

Salehuddin: Perkara yang melibatkan ratifikasi pelaburan RM100 juta bukan tugas kamu, ia kelulusan daripada ahli lembaga pengarah Felda dan pengarah besar Felda?

Erwan: Betul.

Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di depan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 13 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.