
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata harga RON95 akan dinaikkan sehingga mencapai harga semasa pasaran.
Katanya, kenaikan dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan harga barangan naik mendadak dan meringankan kos hidup rakyat.
“Kita akan apungkan harga petrol secara berperingkat sebanyak satu sen seminggu sehingga harga mencapai harga pasaran,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) berhubung mekanisme mengelak harga barangan naik apabila PSP dilaksanakan.
“Banyak mekanisme boleh digunapakai antaranya Akta Kawalan Harga supaya peniaga tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebih-lebihan selepas pelaksanaan program subsidi (bersasar) ini,” tambahnya.
Kementerian berkata penarikan balik subsidi menyeluruh dan PSP tidak melibatkan Sabah, Sarawak dan Labuan, yang masih menikmati harga subsidi RM2.08 seliter bagi RON95.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan 22 Nov lepas, harga runcit RON95 sepatutnya RM2.36 seliter bagi tempoh 23 Nov hingga 29 Nov berdasarkan pengiraan bawah formula Automatic Pricing Mechanism.
Harga runcit RON95 dikekalkan pada paras RM2.08, melibatkan anggaran subsidi RM111.56 juta bagi tempoh itu.
Kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar menerusi PSP bagi menyelamatkan peruntukan subsidi daripada penyeludup petrol, warga asing dan golongan isi rumah berpendapatan tertinggi 20% (T20), dan mengelakkan ketirisan.