
Beliau berkata sebaik sahaja memegang jawatan sebagai menteri, dirinya terikat apabila mengeluarkan kenyataan terutama membabitkan isu sensitif.
“Ramai di luar sana menyatakan sekarang ceramah (saya) tak sedap, kerana saya jadi menteri kena jaga banyak perkataan sebab diperhati.
“…sebab itu sekarang nak beri kenyataan bukan mudah, mudah masa jadi pembangkang,” katanya di Dewan Rakyat disambut tawa wakil rakyat.
Beliau yang berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa membabitkan Kementerian Pertahanan, menjawab celahan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung isu abu mayat Chin Peng itu.
Shamsul bertanya adakah beliau akan membuat kenyataan “u-turn” kerana ketika menjadi pembangkang wakil rakyat Kota Raja itu bersetuju mayat pemimpin komunis tersebut dibawa balik.
Terdahulu, Mohamad, yang didesak wakil rakyat pembangkang untuk menyatakan pendirian berhubung isu tersebut, berkata akan mengeluarkan kenyataan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) selesai melakukan siasatan.
Beliau juga akan mendedahkan hasil perbincangan bersama bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor berhubung isu berkenaan.
“Isu abu mayat itu kuasa KDN, nak selidik dulu, betul atau tidak abu dia dibawa balik, macam mana bawa masuk, semua itu bawah kuasa KDN.
“Pendirian saya selepas siasatan KDN, bila berita ini timbul saya cepat-cepat hubungi Rahim Noor yang berunding dan melahirkan perjanjian damai pada 2 Dis 1979. Rahim Noor ada pandangan, saya akan dedah pandangan itu bila saya buat kenyataan nanti,” katanya.