
Saminathan, 34, yang menghadapi pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan itu ditahan di Penjara Sungai Buloh di bawah Sosma.
Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam mendengar hujahan peguam, Ramkarpal Singh yang mewakili Saminathan dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dalam prosiding kes itu yang bermula 4.30 petang dan berakhir 8 malam.
Terdahulu, Ramkarpal berhujah badan kehakiman mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin dan badan eksekutif tidak boleh campur tangan dalam hal itu.
Beliau berkata, bukan mudah untuk mahkamah membenarkan ikat jamin, tetapi untuk menafikan terus hak anak guamnya bagi mendapatkan ikat jamin adalah tidak wajar.
Sementara itu, Iskandar pula berhujah Sosma sah dari segi perundangan dan Perlembagaan Persekutuan.
“Undang-undang di bawah Sosma juga berbeza dan tidak boleh disamakan undang-undang jenayah lain. Bayangkan jika ikat jamin dibenarkan, dikhuatiri perlakuan keganasan akan berulang,” katanya yang memaklumkan pertimbangan jaminan bagi tahanan Sosma hanya boleh diberikan kepada kanak-kanak, wanita dan orang sakit.
Pada 1 Nov lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob memutuskan terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Sosma bagi merujuk isu Perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah itu membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki merujuk isu Perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.
Selain Saminathan, 11 lagi lelaki lain ialah Adun Seremban Jaya P Gunasekaran, 60; pemandu teksi V Balamurugan, 37; penghantar surat S Teeran, 38; peniaga besi buruk A Kalaimughilan, 28; ketua pegawai perbadanan S Chandru, 38; juruteknik S Arivainthan, 27; penjaga stor S Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M Pumugan, 29; guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP V Suresh Kumar, 43; dan peniaga B Subramaniam, 57.
Mereka semua didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lalu atas pertuduhan berkaitan LTTE.