Keputusan isu helikopter tempur sebelum akhir tahun, kata Mat Sabu

Keputusan isu helikopter tempur sebelum akhir tahun, kata Mat Sabu

Kementerian Pertahanan sudah terima laporan dan pandangan bahagian dasar Kementah dan Pejabat Peguam Negara.

KUALA LUMPUR: Kabinet akan membuat keputusan berhubung pembelian 6 helikopter tempur ringan MD 530G sebelum akhir tahun ini.

Menteri Mohamad Sabu berkata, Kementerian Pertahanan sudah terima laporan dan pandangan bahagian dasar Kementah dan Pejabat Peguam Negara.

“Kita juga buat siasatan dalaman dan keputusan akan dibuat akhirnya oleh Kabinet dalam masa terdekat.

“Minggu depan atau sebelum akhir tahun ini tentang keputusan akhir tentang helikopter yang telah ditempah 6 buah itu tidak dapat sampai hari ini,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa membabitkan kementeriannya.

FMT pada Mei lalu mendedahkan 6 helikopter tempur ringan yang dibeli melalui ejen yang dikaitkan dengan pegawai kanan Kementerian Pertahanan masih belum diterima.

Dua helikopter sepatutnya diterima pada Jul 2017 manakala 4 lagi pada Dis 2018.

Dilaporkan sebanyak RM112.65 juta telah dibayar terlebih dahulu bagi tujuan pembelian helikopter itu.

Kementerian Pertahanan pada Jun membuat laporan kepada SPRM dan Mohamad berkata kerajaan akan membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya 6 helikopter berkenaan masih belum diserakan.

Pesawat pejuang

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan belum memuktamadkan sebarang pembelian pesawat pejuang dari mana-mana negara, kini sedang dalam proses penilaian membabitkan pakar.

Beliau berkata, cadangan supaya sistem barter membabitkan pertukaran dengan minyak sawit digunakan dalam rundingan pembeliannya tidak mudah dilaksana, kerana memerlukan komitmen banyak kementerian.

“Ada kata kita mahu beli dengan Russia, ada kata dengan Pakistan, ada kata Korea Selatan. Semua itu masih diperingkat spekulasi.

“Perundingan masih berjalan. Kita cari yang terbaik dan paling sesuai,” katanya menjawab Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang mencadangkan kerajaan menggunakan sistem barter dalam pembelian aset baru angkatan tentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.