Had umur perkahwinan: Kenyataan Sarawak lain daripada suratnya, kata Wan Azizah

Had umur perkahwinan: Kenyataan Sarawak lain daripada suratnya, kata Wan Azizah

Sarawak dilaporkan antara negeri yang tidak bersetuju dengan pindaan menaikkan had mininum umur perkahwinan ke 18 tahun.

Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail.
SHAH ALAM:
Kenyataan kerajaan Sarawak “lain” daripada suratnya kepada kerajaan persekutuan berhubung pindaan undang-undang had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kandungan surat yang dimaksudkan.

Menurutnya, kerajaan akan mendapatkan penjelasan dan maklum balas Sarawak dan kerajaan negeri lain yang menolak pindaan tersebut.

“Kita dengar (kenyataan Sarawak) ada juga kelainan daripada apa yang Sarawak katakan dalam surat dengan apa dikeluarkan dalam kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Teknologi Pintar dan Bandar Pintar 2019 hari ini.

Sarawak dilaporkan menyokong pindaan itu namun sistem perundangan berkaitan perkahwinan di Sarawak jauh berbeza dengan Semenanjung, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Fatimah Abdullah.

Beliau menjelaskan Sarawak mempunyai 3 sistem perundangan perkahwinan iaitu undang-undang sivil, syariah dan adat, dengan 2 daripadanya menetapkan had umur minimum kepada 18 tahun.

Setakat ini, negeri yang dilaporkan bersetuju dengan pindaan itu iaitu Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka, Perak dan Kedah, sementara Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan serta Kelantan tidak bersetuju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.