Wanita Australia dituduh edar dadah terlepas tali gantung

Wanita Australia dituduh edar dadah terlepas tali gantung

Mahkamah Persekutuan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan mengedar 1.1 kilogram dadah jenis Methamphetamine.

Maria Elvira Pinto Exposto, yang terlepas daripada hukuman gantung, dikerumuni media tempatan dan antarabangsa di Mahkamah Persekutuan hari ini.
PUTRAJAYA:
Seorang wanita warga Australia yang dijatuhi hukuman mati tahun lalu kerana atas tuduhan mengedar dadah, terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan sabitan itu tidak selamat.

Maria Elvira Pinto Exposto, 56, ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Disember 2014 bersama dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 1.1kg yang dijahit dalam lapisan beg yang diberikan kepadanya oleh seorang lelaki ketika di Shanghai, China.

Tengku Maimun berkata Exposto terbukti tidak tahu mengenai dadah itu dan merupakan seorang pembawa yang tidak bersalah.

Exposto, yang kelihatan tenang sepanjang pendengaran, diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi.

Pada Disember 2017, wanita itu didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang menerima hujah pihak pembelaan bahawa dia tidak tahu beg tersebut mengandungi dadah.

Keputusan itu bagaimanapun diterbalikkan pada tahun berikutnya oleh Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Exposto mempertahankan dia tidak tahu mengenai dadah itu.

Dia mendakwa diperdaya untuk membawa beg itu sewaktu melancong ke Shanghai untuk bertemu seorang lelaki yang dikenali sebagai “Kapten Daniel Smith”, yang dikenali menerusi dalam talian.

Selepas terlibat dalam percintaan dalam talian, Exposto pergi ke Shanghai untuk bertemu Smith, yang mendakwa dirinya seorang anggota tentera Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, beg tersebut diberikan kepadanya oleh seorang yang tidak dikenali yang memintanya untuk membawa ke Melbourne.

Dadah itu ditemui di KLIA apabila Exposto secara sukarela menawarkan beg berkenaan untuk pemeriksaan kastam.

Bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, individu yang ditangkap bersama sekurang-kurangnya 50 gram methamphetamine, dianggap sebagai pengedar dan boleh dikenakan hukuman mati.

Dua warga Australia digantung di Malaysia pada 1986 kerana kesalahan mengedar heroin, iaitu warga Barat pertama yang dihukum di negara ini, yang mana kes tersebut menyebabkan hubungan kedua-dua negara menjadi tegang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.