Ronaldo ‘kembali’, beri amaran pada Atletico

Ronaldo ‘kembali’, beri amaran pada Atletico

Bintang Juventus itu yang menghadapi masalah lutut sebelum ini, kini bersedia untuk aksi menentang Atletico Madrid esok.

Cristiano Ronaldo memuat naik gambarnya menyertai latihan di Twitter semalam.
TURIN:
Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo “kembali” dan bersedia menentang Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-juara di sini, esok.

Jurulatih, Maurizio Sarri bagaimanapun berkata, tahap kecergasan pemain antarabangsa Portugal itu yang sebelum ini mengalami masalah lutut, perlu dinilai sebelum beliau dibenarkan beraksi dalam perlawanan Kumpulan D.

Pemain berusia 34 tahun itu dilihat begitu bersemangat dan teruja untuk kembali ke padang dengan memuat naik gambar di Twitter semalam dengan kapsyen “Saya kembali”.

Ronaldo mempunyai sejarah panjang dengan pencabar dari Sepanyol itu ketika 9 tahun bersama Real Madrid.

Pemenang 5 kali Ballon d’Or itu menjaringkan 22 gol ketika menentang Atletico, termasuk kejayaan pada final Liga Juara-juara 2014, selain turut menjaringkan penalti kemenangan pada final 2 tahun lalu ke atas lawan sama.

Pada aksi Liga Juara-juara musim lalu, kelab Sepanyol itu menang 2-0 pada saingan pertama 16 terakhir, tetapi hatrik Ronaldo di Turin pada Mac menafikan hasrat mereka ke suku akhir.

“Cristiano berlatih bersama rakan sepasukan kelmarin (Ahad). Keadaannya semakin baik, tetapi kami masih perlu menilainya hari ini dan esok.

“Apa yang positif ialah dia mampu beraksi sepanjang sesi latihan bersama rakan sepasukan,” kata Sarri dalam sidang akhbar di Stadium Juventus.

Pengendali Atletico, Diego Simeone tahu apa yang perlu dijangkakan daripada pemain yang memegang rekod penjaring terbanyak Liga Juara-juara dengan 127 gol itu.

“Beliau pemain nombor satu, tetapi saya tidak fikir ia adalah aksi Ronaldo menentang Atletico kerana Juve ialah pasukan hebat.

“Saya pasti Juventus akan menjadi pencabar utama musim ini sekali lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.