Australia siasat dakwaan China cuba ‘pasang’ pengintip di Parlimen

Australia siasat dakwaan China cuba ‘pasang’ pengintip di Parlimen

Televisyen Australia menyiarkan dakwaan satu rangkaian pengintipan China menawarkan A$1 juta kepada pengedar kereta mewah di Melbourne supaya bertanding di satu kerusi Parlimen Australia.

Hubungan Australia dengan rakan dagang terbesarnya, iaitu China, merosot beberapa tahun kebelakangan ini susulan dakwaan Beijing campur tangan dalam hal ehwal domestik negara itu. (Gambar Reuters)
MELBOURNE:
Australia menyiasat dakwaan bahawa China cuba menempatkan seorang ejen di kerusi Parlimen Canberra, kata Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (Asio) dalam satu kenyataan, dengan menambah ia melihat isu itu sebagai serius.

Agensi pengintipan itu membuat kenyataan tersebut lewat semalam selepas televisyen Australia menyiarkan dakwaan bahawa satu rangkaian pengintipan China menawarkan A$1 juta kepada pengedar kereta mewah, Bo “Nick” Zhao di sini supaya bertanding di satu kerusi Parlimen Australia.

“Laporan Sixty Minutes di saluran Nine mengandungi dakwaan yang dilihat secara serius oleh Asio,” kata ketua pengarah keselamatan Asio, Mike Burgess dalam satu kenyataan.

“Rakyat Australia perlu sedar bahawa Asio sedia maklum mengenai isu yang dilaporkan hari ini dan menyiasatnya secara aktif,” katanya.

Pegawai di kedutaan China di Canberra tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.

Zhao juga memberitahu Asio tentang dakwaan percubaan serupa daripada seorang ahli perniagaan di Melbourne kira-kira setahun sebelum ini, kata Sydney Morning Herald dalam satu laporan bersama dengan akhbar 60 Minutes dan The Age, dengan memetik rakan kongsi Zhao dan sumber keselamatan Barat.

Zhao ditemui mati dalam sebuah bilik motel di Melbourne pada Mac.

Burgess berkata, beliau tidak akan mengulas lanjut dan memberitahu perkara ini kini tertakluk kepada siasatan koroner.

Katanya, Asio komited dalam mempertahankan demokrasi dan kedaulatan Australia.

“Kegiatan pengintipan asing terus menjadi ancaman terhadap negara kita dan keselamatannya,” kata kenyataan itu lagi.

“Asio akan terus menghadapi dan menghalang campur tangan dan kegiatan pengintipan asing di Australia.”

Hubungan Australia, sebuah negara yang kaya dengan sumber asli, dengan rakan dagang terbesarnya, iaitu China, merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini susulan dakwaan Beijing campur tangan dalam hal ehwal domestik negara itu.

Dakwaan terbaru ini adalah rentetan laporan berasingan bahawa seorang rakyat China yang berpaling tadah mendakwa beliau merupakan ejen pengintip dan membuat satu kenyataan bersumpah kepada Asio tentang bagaimana China membiayai dan campur tangan dalam politik di Taiwan, Australia dan Hong Kong.

Berikutan laporan tersebut, polis di hab kewangan China di Shanghai berkata Sabtu bahawa individu yang dikatakan “pengintip China” itu merupakan seorang penipu berusia 26 tahun dari wilayah Fujian di timur negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.