Saya tidak maklum, kata Zakaria selepas dipecat daripada majlis pimpinan PKR

Saya tidak maklum, kata Zakaria selepas dipecat daripada majlis pimpinan PKR

Terdahulu lembaga disipilin PKR memecat Zakaria selepas SPRM memperakui beliau terlibat dalam kegiatan rasuah semasa pemilihan parti tahun lepas.

Bekas ahli MPP PKR Zakaria Abdul Hamid berkata, beliau hanya mengetahui pengumuman pemecatan beliau melalui laporan media. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Zakaria Abdul Hamid berkata, beliau tidak menahu bahawa dirinya dipecat daripada parti berkenaan berkuat kuasa hari ini.

Sebaliknya kata Zakaria, pengumuman berhubung perkara tersebut hanya diketahuinya melalui laporan media.

“Perkara ini adalah mengejutkan kerana saya tidak pernah dimaklumkan sama sekali melalui apa-apa cara tentang sebarang pertuduhan disiplin terhadap saya oleh mana-mana pihak.

“Apatah lagi tindakan tersebut diambil (jika benar) tanpa melalui proses memanggil saya untuk membela diri seperti mana biasanya dilakukan oleh mana-mana badan politik yang berkanun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petang tadi, pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim mengumumkan bahawa Zakaria, yang juga merupakan ketua cabang PKR Bera, dipecat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperakui beliau terlibat dalam kegiatan salah laku dan rasuah sewaktu pemilihan parti itu tahun lepas.

Ahmad berkata, berikutan itu SPRM mengesyorkan supaya parti mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, beliau akan menunggu penjelasan rasmi daripada parti dan akan memaklumkan tindakan susulan yang mungkin diambilnya selepas ini.

Selain Zakaria, seorang lagi ahli PKR Pahang Ismail Dulhadi turut dipecat atas kesalahan yang sama dengan Zakaria.

Dalam perkembangan berkaitan, pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh berkata, majlis pimpinan negeri (MPN) mengambil maklum pemecatan Zakaria oleh MPP berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah menerima nasihat daripada daripada lembaga disiplin parti berdasarkan laporan SPRM.

“MPN Pahang sentiasa mematuhi dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti dan isu ini tidak sama sekali menjejaskan gerak kerja dan keutuhan parti, khususnya di cabang Bera,” katanya dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.