
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata perkara itu juga boleh mengurangkan beban pemilik mana-mana bengkel yang terpaksa menyewa bangunan bagi menempatkan golongan itu bekerja.
“Langkah itu akan membolehkan lebih ramai golongan OKU ditempatkan di situ (bangunan tidak digunakan) berbanding menyewa bangunan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Anugerah Kerjaya Cemerlang OKU di Bengkel Perlindungan Semangat Maju Taiping di Aulong, semalam.
Beliau berkata, golongan OKU juga adalah aset negara dan mereka juga memerlukan kehidupan yang selesa termasuk kemahiran dan bersosial.
“Ia berdasarkan maklum balas yang positif daripada majikan seperti syarikat pusat membeli-belah AEON dan Mydin yang menyatakan pekerja OKU lebih fokus dalam menjalankan tugas dan kekal bekerja lebih lama di sesebuah organisasi,” katanya.
Menurut Hannah, seramai 263 OKU terlibat dalam program Job Coach yang dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya sehingga Oktober tahun ini.
“Daripada jumlah itu, 178 OKU atau 68% daripadanya adalah OKU Masalah Pembelajaran. Sebanyak 165 buah syarikat dari seluruh negara telah terlibat,” katanya.
Selain itu, Hannah berkata Perak adalah negeri ke-3 tertinggi yang mempunyai pendaftaran OKU Masalah Pembelajaran iaitu 15,748 orang selepas Selangor (29,063) dan Johor 21,474 orang.
Beliau berkata kementeriannya akan menubuhkan 5 lagi Pusat Latihan Berdikari (ILC) di negara ini untuk membantu golongan OKU berdikari dan pada tahun ini, 2 buah ILC ditubuhkan dengan peruntukan RM900,000 bagi kedua-duanya.