
Akmal Nasir berkata, perasmi kongres bukanlah melibatkan tradisi seperti yang disebut pelbagai pihak, sebaliknya ia hanya kelaziman penganjuran tahun-tahun sebelumnya.
“Walaupun ia dilihat berbeza sikit, tapi bukan kali pertama perasmian AMK (Angkatan Muda Keadilan) dan Wanita terikat dengan mana-mana jawatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Bagaimanapun, Akmal tidak menyebut penganjuran kongres yang dirasmi selain timbalan presiden.
Sebelum ini, Ketua Wanita PKR Haniza Talha berkata Akmal melakukan kesilapan dengan menjemput selain timbalan presiden sebagai perasmi kerana jemputan kepada jawatan itu menjadi tradisi kongres sejak 20 tahun lalu.
Akmal menegaskan Kongres Nasional Tahunan Pemuda akan dirasmi Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Wan Azizah Wan Ismail pada 6 Disember ini dengan tema “Reformasi Dua Dekad, Mengisi Kemenangan Rakyat”.
“Tema ini memberi gambaran agenda penting yang menjadi tongga perjuangan AMK iaitu memastikan agenda reformasi dan anak muda terus berjalan dalam mengisi kemenangan paas 9 Mei 2018,” katanya.
Mengulas lanjut, Akmal berkata menerusi kongres tersebut, sayap pemuda akan membawa isu anak muda seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, pinjaman PTPTN dan lain-lain yang berkaitan.
Sebelum ini, konflik tercetus apabila Akmal didakwa membelakangi tradisi dengan tidak mengundang Azmin, sebaliknya menjemput penasihat Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri untuk merasmikan kongres pemuda PKR pada awal Disember ini.
Bagaimanapun, tindakan itu dibantah sebahagian besar – 21 daripada 25 – kepimpinan pusat AMK yang menang dalam pemilihan lalu, termasuk Timbalan Pemuda PKR, Hilman Idham.
Adun Gombak Setia itu juga berkata keputusan itu muktamad dan perasmian itu juga dipersetujui Haniza.
Tindakan disiplin
Akmal menegaskan mana-mana pemimpin mahupun individu yang mengeluarkan kenyataan keterlaluan perlu bersedia untuk berdepan tindakan oleh lembaga disiplin parti.
“Jadi bagi saya, masing-masing merupakan kepimpinan, dia tahu apa yang perlu dibahaskan (dan) dibangkitkan di khalayak umum.
“Tapi kalau luar keterbatasan, anda mesti bersedia untuk berdepan dengan lembaga disiplin,” katanya tanpa menamakan individu yang dimaksudkan.
Beliau berkata demikian mengulas teguran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, semalam, supaya semua pihak mengurangkan berbalas kenyataan sesama parti dikhuatiri menimbulkan persepsi parti komponen Pakatan Harapan mempunyai masalah dalaman.
Mahathir dilaporkan enggan mengulas konflik dalaman PKR, susulan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalannya Azmin Ali saling berbalas kenyataan sejak pertengahan tahun lalu.