Wanita Islam hamil ditumbuk, dipijak di Australia

Wanita Islam hamil ditumbuk, dipijak di Australia

Suspek dilihat menumbuk salah seorang daripada 3 wanita yang sedang makan di kafe sehingga jatuh dan kemudian memijaknya.

Tangkap layar CCTV menunjukkan seorang wanita Islam yang sarat mengandung ditumbuk dan dipijak lelaki di Sydney, Australia.
PETALING JAYA:
Seorang wanita Islam yang sedang hamil dimasukkan ke hospital selepas dia diserang seorang lelaki di Sydney, Australia, yang digambarkan sebagai “serangan Islamofobia”.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan seorang lelaki menghampiri 3 wanita berhijab ketika mereka sedang menikmati makanan di sebuah kafe pada 20 Nov lalu.

Suspek yang berusia 43 tahun itu dilihat melangkaui meja makan yang diduduki wanita terbabit untuk menumbuk salah seorang daripada mereka sehingga jatuh dan kemudian memijaknya.

Mangsa, 31, dipercayai sedang mengandung 38 minggu dan disasarkan secara rawak.

Polis menahan suspek dan didakwa menyerang dengan menyebabkan kecederaan pada tubuh dan menimbulkan kekacauan. Ikat jaminnya juga ditolak.

Persekutuan Majlis Islam Australia, sebuah organisasi Islam terkemuka berkata serangan itu adalah “jelas serangan rasis dan Islamofobia”.

Mereka berkata lelaki itu didengar menjerit menggunakan ucapan kebencian anti-Islam kepada mangsa dan kawan-kawannya.

Polis berkata jika tiada campur tangan daripada orang awam di tempat kejadian, serangan itu mungkin lebih teruk lagi.

“Kalau bukan kerana tindakan berani anggota masyarakat menghentikan serangan itu, mangsa mungkin mengalami kecederaan serius,” kata inspektor polis, Luke Sywenkyj.
tags:

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.