Menteri beri kontrak salah dari segi moral, kata Ramkarpal

Menteri beri kontrak salah dari segi moral, kata Ramkarpal

Mahathir dilaporkan berkata malam tadi bahawa menteri dibenarkan memberikan projek 'selagi ia dalam kawasan mereka'.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, SPRM perlu menyiasat menteri yang disyaki menyalahgunakan kedudukan mereka dengan memberikan kontrak.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen DAP berkata, pemberian kontrak oleh menteri, sama ada dalam bidang kuasa mereka atau sebaliknya, adalah salah dari segi moral.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa menteri berhak memberi projek, “tetapi bukan di luar kawasan mereka” sebagai “mengejutkan”.

Beliau berkata, ia bercanggah dengan prinsip pembaharuan yang mahu diikuti oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menggesa supaya Suruhnjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) “tidak dipengaruhi oleh kenyataan PM” dan menyiasat menteri yang disyaki menyalahgunakan kedudukan mereka dengan memberikan kontrak secara peribadi.

Mahathir dilaporkan berkata malam tadi bahawa menteri dibenarkan memberikan projek “selagi ia dalam kawasan mereka”.

Bercakap kepada pemberita di Bangi, beliau berkata, “semalam Anwar (Ibrahim) beritahu saya bahawa ada menteri Kabinet yang memberikan kontrak”.

“Menteri Kabinet berhak memberikan projek dalam kawasan dialah, tetapi tidak perlulah bagi kawasan lain.”

Dalam kenyataan hari ini, Ramkarpal, yang merupakan pengerusi Biro Undang-undang DAP Kebangsaan berkata, beliau tidak maklum hak apakah yang dimaksudkan oleh Mahathir.

“Jika hak itu ada sekalipun, pemberian kontrak oleh menteri adalah salah dari segi moral, sama ada dalam bidang kuasa mereka atau sebaliknya. Ini kerana, antara lain, amalan sedemikian akan mewujudkan persepsi pilih kasih di pihak menteri terbabit,” katanya.

Beliau berkata, konsep tender terbuka bertujuan menggalakkan ketelusan dalam bidaan kontrak dan menggalakkan persaingan dalam kalangan pembida, selain menarik mereka yang terbaik.

“Proses tender sedemikian bertujuan menghapuskan rasuah. Justeru proses pemberian kontrak kerajaan tidak boleh diletakkan di tangan mana-mana individu, apatah lagi seorang menteri.

“Malah atas prinsip inilah Janji 14 manifesto PH berikrar untuk meningkatkan usaha membanteras rasuah,” katanya.

Ramkarpal berkata, kenyataan Mahathir akan menyebabkan menteri berfikir bahawa mereka boleh memberi kontrak “selagi ia berada dalam bidang kuasa mereka”.

“Perkara inilah yang Harapan berjanji mahu hapuskan.

“Ketelusan dalam pemberian kontrak kerajaan mestilah menjadi keutamaan dalam usaha pembaharuan kita dan kita tidak boleh berkompromi tentangnya,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.