
Mansor yang juga ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pertemuan yang dijadualkan minggu hadapan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa kumpulan hak asasi manusia, termasuk Suaram di Parlimen Khamis lepas.
“Kita jumpa kumpulan hak asasi manusia, kita bincang, dengar rintihan mereka sebab mereka sudah bertemu dengan keluarga yang ditahan. Pada pertemuan Khamis lalu, mereka melahirkan rasa simpati pada keluarga tahanan.
“Kita akan kaji dan bawa perkara itu kepada pihak berkuasa. Kita sudah jumpa sebelum ini (Abdul Hamid Bador) dan kita akan jumpa dalam masa terdekat. Sebelum sesi Parlimen tamat, maknanya dalam tempoh seminggu depan,” katanya kepada FMT.
Sosma diwujudkan pada 22 Jun 2012 oleh bekas perdana menteri, Najib Razak bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang dimansuhkan pada 15 Sept 2011.
Ia digubal bagi membendung aktiviti individu atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara berasa takut.
Di bawah Sosma, seorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana pihak yang berkenaan jika dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.
Sosma adalah antara undang-undang yang dijanjikan mahu dihapuskan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, pihaknya hadir bertemu dengan Mansor bagi membincangkan dan menerangkan keperluan Sosma dimansuhkan memandangkan terdapat beberapa bahagian di dalam akta berkenaan masih bersifat drakonian.
“Sosma harus dimansuhkan kerana terdapat banyak bahagiannya yang drakonian. Kita bukan anti undang keselamatan, kita memang sokong undang-undang keselamatan, tetapi undang-undang itu harus adil,” katanya kepada FMT.
“Tidak boleh ada peruntukan yang membolehkan tahanan ditahan tanpa bicara atau tempoh reman yang terlampau lama. Setiap yang ditahan harus dibenarkan untuk mempertahankan diri di mahkamah secara terbuka,” kata beliau.
Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berjanji akan membuat pindaan ke atas Sosma dan mana-mana peruntukan undang-undang yang berbentuk drakonian.
Beliau berkata, pindaan itu bertujuan mengelakkan penyalahgunaan undang-undang.
Dalam pada itu Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan dijangka membentangkan pindaan Sosma pada awal tahun hadapan.