Anwar arah PKR Sarawak bersiap hadapi pilihan raya negeri ke-12

Anwar arah PKR Sarawak bersiap hadapi pilihan raya negeri ke-12

PKR Sarawak diminta mengadakan mesyuarat melibatkan semua cabang di negeri itu bagi membincangkan persediaan PRN12, termasuk proses pemilihan calon.

Presiden PKR Anwar Ibrahim disambut anggota parti itu pada konvensyen PKR negeri Sarawak di Miri hari ini. (Gambar Facebook)
MIRI:
PKR Sarawak diarah supaya bersiap sedia dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dan mengukuhkan kekuatan parti itu bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya itu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama bagi memastikan kemenangan calon PKR pada PRN itu, selain memperkukuhkan kerjasama dalam kerajaan PH sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

“Beri tumpuan kepada PRN12 untuk kemenangan PKR dan PH,” katanya pada majlis perasmian Konvensyen PKR Sarawak di sini, hari ini.

Anwar berkata, antara yang perlu dibuat segera oleh PKR Sarawak ialah mengadakan mesyuarat melibatkan semua cabang PKR di negeri ini bagi membincangkan persediaan PRN12, termasuk proses pemilihan calon.

Beliau mahu kesemua cabang diberi peluang untuk memberikan pendapat serta cadangan dan bukan didominasi oleh sesetengah pihak sahaja.

Menurutnya semua pandangan akan diambil kira oleh peringkat kepimpinan pusat sebelum membuat keputusan berdasarkan keputusan dibuat oleh kepimpinan negeri.

“PKR adalah parti demokratik dan membuat keputusan berdasarkan majoriti,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian konvensyen itu, Anwar menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan mana-mana pihak berkaitan isu dalaman parti.

“Saya boleh bincang dengan siapa-siapa tak ada masalahnya,” katanya sambil menambah semua ahli parti mesti mematuhi perlembagaan parti.

Turut hadir pada majlis perasmian konvensyen yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan itu ialah setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.