Perancang kehamilan: Hanya suntik testis mampu halang sperma ke zakar

Perancang kehamilan: Hanya suntik testis mampu halang sperma ke zakar

Alat kontrasepsi iaitu suntikan perlu mendapat pengesahan dari US Food and Drug Administration (FDA) sebelum dipasarkan ke seluruh negara.

Setiap kali membincangkan tentang kontrasepsi lelaki, sudah pasti kita akan membayangkan atau mencadangkan kondom.

Namun, baru-baru ini ada kajian terkini yang mengatakan lelaki tidak perlu lagi untuk menggunakan alat pengawalan kelahiran yang melecehkan ini kerana sudah wujud kaedah baru!

Kontrasepsi & lelaki

Secara umumnya, usaha perancangan keluarga selalu sahaja dikaitkan dengan kaum wanita.

Di Amerika, 99% wanita dilaporkan pernah atau sedang menggunakan alat pengawalan kelahiran dengan tujuan untuk merancang keluarga bersama pasangan mereka.

70% daripada jumlah itu menggunakan kontrasepsi yang tidak kekal, termasuklah penggunaan pil, implan, cincin atau IUCD 22% daripada jumlah itu pula menjalankan prosedur pensterilan tiub (tubal ligation).

Selebihnya, pasangan lelaki di Amerika menjalani prosedur pensterilan.

Kaedah pengawalan kelahiran yang dinyatakan di atas sudah dilakukan oleh manusia bertahun lamanya.

Namun akan wujud kesan sampingannya terhadap wanita.

Antaranya, berat badan meningkat, jerawat merebak, payudara membengkak, “mood swings” dan berlaku pendarahan pada faraj di antara waktu datang bulan.

Ini menunjukkan bahawa kaum Hawa sudah banyak menderita demi merancang keluarga bersama pasangan.

Jadi, adakah terdapat kontrasepsi untuk kaum Adam yang mungkin kurang atau tidak wujud sebarang kesan sampingan?

Kajian terbaharu di India

Seorang saintis dari India, Dr Sujoy Kumar Guha, telah mengusahakan kontrasepsi terkini untuk lelaki selama 37 tahun lamanya.

Ia bukanlah sejenis alat untuk dipakai atau pil untuk ditelan.

Namun, ia dicipta sebagai satu ubat untuk disuntik ke testis lelaki bertujuan menyekat atau menghalang pergerakan sperma ke zakar.

Menurut Dr RS Sharma, saintis yang turut serta dalam membangunkan alat pengawalan kelahiran terbaharu ini menyatakan kaedah ini mampu bertahan dan berfungsi selama 13 tahun selepas ia disuntik.

Menurutnya lagi, produk tersebut telah siap dan hanya menunggu pengesahan daripada badan pengawalan ubat di negara itu sebelum dipasarkan.

Adakah ia mempunyai kesan sampingan?

Di Amerika, alat pengawalan kelahiran seperti ini sudah beberapa kali menjalani ujian klinikal.

Namun, kebanyakannya gagal dan tidak berjaya dipasarkan kerana terdapat banyak kesan sampingan, hampir sama seperti yang dialami oleh wanita.

Akan tetapi, alat kontrasepsi terbaharu ini telah dicuba oleh pasukan Indian Council of Medical Research (ICMR) dan hasilnya agak memuaskan.

Seramai 303 lelaki telah disuntik dengan ubat ini dan 97.3% daripada jumlah ini menunjukkan bahawa ia efektif dalam menyekat atau menghalang sperma tanpa menunjukkan sebarang kesan sampingan.

“Produk ini boleh dikatakan sebagai kontrasepsi lelaki pertama di dunia jika berjaya dipasarkan”, kata Dr Sharma.

Halangan terakhir sebelum produk ini dipasarkan ke seluruh negara adalah pengesahan dari US Food and Drug Administration (FDA).

Jika usaha ini berjaya, usaha pengawalan kelahiran bukan sahaja terletak pada wanita lagi, lelaki juga perlu memainkan peranannya!

Kesimpulannya, lelaki mungkin tidak lagi memerlukan kondom jika produk ini berjaya mencapai tahap badan regulasi sebelum dipasarkan ke seluruh dunia.

Ia sudah pasti merupakan berita baik buat kaum lelaki.

Selepas ini, anda tidak perlu lagi bersusah-payah membeli dan memakai kondom setiap kali sebelum melakukan hubungan kelamin bersama pasangan. Jimat wang dan masa!

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.