
Tidak putus asa dengan situasi itu, pelakon berusia 73 tahun tersebut dan isterinya memilih untuk menjalankan perniagaan sendiri bagi menampung keperluan harian mereka.
Hanya bermula secara kecil-kecilan dari rumah, Samsuri tidak menyangka perusahaan bawang gorengnya mendapat sambutan hingga menerima tempahan daripada restoran-restoran terkenal.
“Saya mula berlakon 10 tahun lepas, masa itu memang tawaran sentiasa ada, tetapi tiga tahun kebelakangan ini tawaran berlakon semakin berkurangan, tetapi Alhamdulillah masih dapat tawaran berlakon untuk iklan.
“Apabila tiga, empat bulan tidak ada tawaran, saya dan isteri mula berfikir perniagaan apakah kami boleh buat. Akhirnya kami ambil keputusan buat bawang goreng. Mula-mula saya tidak yakin, tetapi selepas setahun kami beroperasi, Alhamdulillah makin banyak tempahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada FMT ketika ditemui selepas Kongres Sangga Artis Veteran 2019 di Pawagam Mini P Ramlee di sini, kelmarin.
Iklan terbitan TV3 dengan kerjasama Samsung berjudul “Hero Setulus Kasih” itu mengisahkan tentang Pak Din yang sentiasa ikhlas membantu penduduk kampung sehingga memberi inspirasi kepada orang di sekeliling, terutama cucunya.
Iklan itu turut dibintangi penyanyi Haqiem Rusli.
Menurut Samsuri, lebih 100 botol bawang putih dan bawang merah goreng berjaya dijual setiap minggu di seluruh negara.
Meskipun hanya berdua mengusahakan perniagaan itu, Samsuri berkata, beliau tiada masalah untuk menguruskan sendiri penghantaran kerana sering berulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur.
“Saya duduk di Pagoh jadi kalau dapat tempahan dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor saya hantar sendiri.
“Tetapi kalau tempahan dari Pantai Timur terpaksalah menggunakan perkhidmatan pos,” katanya.
Samsuri berkata, beliau belum memikirkan perancangan untuk mengembangkan perniagaan itu meskipun menerima tempahan yang banyak setiap minggu.
“Alhamdulillah tempahan memang banyak setiap minggu, tetapi setakat ini kami hanya mampu menghasilkan 100 botol sahaja seminggu.
“Perniagaan ini memang boleh dikembangkan lagi, tetapi sekarang ini cukuplah untuk menampung hidup kami,” katanya.