
Otai Reformis yang terdiri daripada individu menyokong perjuangan reformasi Anwar selepas beliau dipecat secara dramatik oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1998, akan menganjurkan Konvensyen Reformis 2019 selama sehari di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam.
Poster konvensyen itu sudah diedarkan atas talian dengan tagline “Anwar PM8”, yang digunakan PKR dalam kempen pilihan raya umum tahun lalu di sebalik janji Pakatan Harapan untuk melantiknya sebagai pengganti Mahathir.
“Sila panjangkan kepada pihak lain agar lebih ramai bangun kembali.
“Reformasi tetap menyala selagi reformis bernyawa,” menurut poster yang dihantar kepada media.
Pada 2 Sept 1998, Mahathir memecat Anwar selepas mendakwa timbalannya itu ialah lelaki homoseksual yang mencetuskan krisis politik apabila ribuan orang mengadakan protes jalanan.
Anwar yang merupakan pengganti Mahathir ketika itu, bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit dengan berkata, tuduhan berkenaan direka untuk menghalang beliau menjadi perdana menteri.
Kedua-dua pemimpin itu berbaik semula pada 2016 dan menubuhkan satu gabungan pilihan raya untuk menggulingkan Barisan Nasional tahun lalu.
Otai Reformasi berulang kali menggesa Mahathir mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada ahli Parlimen Port Dickson itu.
Kumpulan itu turut mendesak Mohamed Azmin Ali, yang mahu Mahathir menerajui negara selama sepenggal, meletak jawatan secara terbuka susulan penyebaran beberapa klip video mendakwa timbalan presiden PKR itu mengadakan hubungan seks sejenis.