
Pensyarah undang-undang Islam Aznan Hasan berkata, hakikat bahawa waris Shaik Eusoff tidak memberi persetujuan untuk menjadikan tanah pusaka mereka tanah wakaf adalah sebab yang mencukupi kerana ia dianggap berlawanan dengan mazhab Shafii yang diamalkan di negara ini.
“Harta wakaf atau amanah berkenaan selepas kematian donor menjadi harta pusaka donor dan perlu diagihkan kepada waris yang berhak.
“Menjadikan hartanah itu sebagi wakaf di bawah Majlis Agama adalah tidak sah kerana wakaf tidak diwujudkan selepas kematian donor. Tidak terdapat kenyataan daripada waris yang bersetuju hartanah itu dijadikan wakaf.
“Majlis tidak mempunyai sebarang status untuk terus memegang harta berkenaan dan perlu memulangkan semua harta berkenaan kepada waris donor yang masih hidup,” beliau memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah semalam.
Beliau memberi keterangan sebagai saksi plaintif dalam perbicaraan pertikaian tanah antara waris Shaik Eusoff Shaik Latiff dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Aznan, yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Syariah Amanah Raya, turut bersetuju dengan testimoni pakar sebelum ini berhubung wasiat Shaik Eusoff.
Katanya, wasiat hartawan berkenaan untuk menjadikan tanahnya di Air Hitam itu sebagai wakaf hanya selama 21 tahun tidak dapat dilaksanakan mengikut mahzab Shafii, yang mensyaratkan wakaf dibuat secara berkekalan, bukannya untuk satu tempoh yang terhad.
Aznan berkata, hujah itu sudah memadai untuk membatalkan status wakaf tanah tersebut.
Terdahulu dalam perbicaraan itu, peguam plaintif berhujah dengan panjang lebar bagi membuktikan bahawa Aznan merupakan pakar yang berwibawa dan berkelayakan untuk memberikan pendapat berkaitan undang-undang pesaka Islam.
Aznan kini merupakan seorang profesor madya dalam bidang kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan penasihat syariah kepada lebih 10 bank Islam di seluruh dunia.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Mohd Yunus Mohamad Zin menetapkan 27 dan 28 November ini bagi membolehkan peguam MAINPP menyoal balas Aznan dan dua pakar lain.
Plaintif diwakili peguam Akberdin Abdul Kader, Yuslinov Ahmad, Rafie Mohd Shafie, Redza Rafie, Ardy Suffian Akberdin dan Hafizullah Abdullah.
MAINPP diwakili peguam Mohd Anuar Ahmad, Zainul Rijal Abu Bakar, Mohd Najib Rohim dan Mohammad Shafiq Ibrahim.
Saman terbabit difailkan oleh Abdul Shukor PA Mohd Sultan, Syed Idross Syed Hassan Al-Mashoor dan Sheik Mohd Jelani Sheik Emam.
Mereka memohon untuk menuntut semula dua bidang tanah seluas enam hektar di Air Hitam.
Shaik Eusoff mewasiatkan tanah berkenaan dipegang sebagai amanah bagi pihak waris beliau dan digunakan sebagai tanah wakaf hanya selama 21 tahun dari tarikh kematian anaknya yang terakhir.
Anak terakhir daripada tujuh anak beliau, seorang perempuan, meninggal dunia pada 1932, justeru tanah berkenaan sepatutnya dikembalikan kepada pusaka keluarga beliau pada 1953.
Ini menurut satu wasiat 10 halaman yang ditulis dalam bahasa Inggeris bertarikh 30 Disember 1892.
Kes terbabit telah keluar masuk mahkamah sejak akhir 1990-an berkait hujahan bahawa tanah berkenaan dipegang sebagai amanah, bukan wakaf, seperti didakwa oleh MAINPP.
Ia kini berada di Mahkamah Tinggi Syariah untuk keputusan penyelesaian.
Shaik Eusoff, seorang Jawi Peranakan yang berasal dari Gujarat, merupakan seorang hartawan terkenal dan dikatakan memiliki tanah yang luas di George Town pada awal abad ke-19.
Waris beliau juga dikatakan membawa masuk kesenian boria ke negeri ini.