
“Ia bukan tugas kami untuk membuat laporan supaya siasatan boleh dimulakan,” kata Pengarah Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad kepada Mahkamah Tinggi ketika pemeriksaan balas oleh peguam Arul, N Sivananthan.
Terdahulu, bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa memberitahu mahkamah, Arul hanya membangkitkan laporan kewangan bercanggah itu dalam mesyuarat lain pada 24 Feb 2016.
Ia seterusnya menyebabkan 2 versi berbeza laporan kewangan itu, antara lain, dikeluarkan daripada Laporan Audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.
Salwani berkata, mesyuarat pada 16 Dis 2015 dirakam dan ditranskripsikan.
“Rakaman itu mungkin tiada lagi sebaik saja prosiding disahkan, tetapi minit mesyuarat bertulis masih ada.”
Sivananthan: Adakah anda serahkan minit mesyuarat itu kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Salwani: Mungkin, tetapi saya perlu memeriksanya.
Peguam itu kemudiannya memberitahu Hakim, Mohamed Zaini Mazlan yang pendakwaan tidak menyerahkan dokumen itu kepada anak guamnya untuk bersiap sedia membela diri.
Arul didakwa bersubahat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk meminda Laporan Audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC.
Sivananthan berkata, draf laporan audit yang dibincangkan pada 16 Dis 2015 itu hanya mengandungi 250 muka surat, sebelum 100 lagi halaman ditambah apabila mesyuarat kedua diadakan pada 24 Feb 2016.
Salwani berkata, ini berlaku ketika hal ehwal pelaburan berkaitan SRC International, anak syarikat 1MDB, dimasukkan.
Sivananthan: Boleh kita simpulkan mesyuarat pada 24 Feb 2015 ialah mesyuarat penutupan sebelum laporan audit itu dibentangkan kepada PAC?
Salwani: Tidak.
Beliau bersetuju Ali yang mencadangkan beberapa perenggan kontroversi dalam laporan audit itu dibincangkan dalam mesyuarat 24 Feb.
Selasa lalu, mahkamah diberitahu Najib tidak berpuas hati dengan kandungan Laporan Audit 1MDB kerana beliau tidak mahu 2 laporan kewangan bercanggah dibangkitkan.
Ali berkata, beliau dipanggil Najib ke pejabatnya 2 hari sebelum itu (22 Feb) untuk memaklumkan kebimbangannya dan Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang.
Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram, Salwani yang merupakan saksi pendakwaan kelima itu berkata, beliau merakamkan prosiding mesyuarat pada 24 Feb tanpa kebenaran.
Mesyuarat itu dihadiri Arul, wakil Jabatan Audit Negara, Perbendaharaan, Jabatan Peguam Negara, Pejabat Perdana Menteri dan setiausaha sulit kanan Ali.
Salwani berkata, satu perakam audio diletakkan dalam kotak pensel pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, sebelum beliau tiba-tiba diminta meninggalkan bilik mesyuarat.
“Pasukan audit terkejut selepas mendengar rakaman itu,” katanya sambil menambah Ambrin turut kelihatan tidak gembira selepas mesyuarat itu.
Katanya, Ambrin menggumam “apa tujuan buat audit” apabila mengikut beliau ke bilik air.
Salwani berkata, rakaman itu dipindahkan ke sebuah cakera keras dan kemudiannya ke satu lagi cakera keras serta pemacu pena.
“Kami berbuat demikian untuk mengelakkan kebocoran maklumat pada kemuncak krisis 1MDB. Pemacu pena itu kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat SPRM.”
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, katanya, beliau meletakkan perakam suara itu dalam kotak pensel Nafisah tanpa kebenarannya kerana notis meninggalkan bilik mesyuarat dibuat secara mengejut oleh kakitangan Ali.
Beliau berkata, maklumat itu akhirnya dipindahkan ke pemacu pena dan disimpan dalam peti keselamatan kerana pihak berkuasa bertindak merampas bukti sulit berhubung 1MDB.
“Ini yang berlaku kepada SPRM apabila dokumen dirampas daripada mereka.”
Perbicaraan di depan Zaini disambung Rabu depan.