
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, sebagai pemimpin, PKR sepatutnya menghadiri setiap mesyuarat parti, termasuk Biro Politik.
“Kita nantikan maklumat penuh daripada beliau. Memandangkan beliau tidak hadir, maka kena tunggu untuk maklumat lanjut. Parti masih tidak mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Azmin.
“Kami tidak tetapkan tempoh masa. Dia sewajarnya datang di setiap mesyuarat parti. Diharap beliau mempunyai urusan lain yang lebih penting, yang memerlukan beliau hadir. Mungkin media boleh bertanya kepadanya,” katanya selepas mesyuarat Biro Politik di bangunan Parlimen malam ini.
Ditanya jika Azmin bertindak melampaui batas kerana sering tidak menghadiri mesyuarat parti, Fahmi berkata, PKR masih bersikap terbuka terhadap menteri hal ehwal ekonomi itu.
“Saya rasakan kami akan tetap tunggu. Dalam hal ini, tidak boleh ambil kes yang berlaku pada Azmin sama seperti yang lain, kita lihat kes demi kes, saya rasa itulah pendekatan kita,” katanya merujuk tindakan PKR memecat Khalid Ibrahim pada Ogos 2014, antara lain kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat memilih Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor menggantikannya.
Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, timbalannya perlu hadir mesyuarat Biro Politik hari ini untuk menjelaskan perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan sekumpulan ahli Parlimen BN di kediaman rasminya kelmarin.
Azmin bagaimanapun dilaporkan menyifatkan pertemuan dengan ahli Parlimen BN ialah “mesyuarat biasa” dan beliau perlu menyemak jadual terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada dapat menghadiri mesyuarat malam ini.