
Polis mula mengepung Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) sejak Ahad lalu apabila ratusan penunjuk perasaan beralih ke kampus itu sebagai sebahagian daripada kempen memprotes besar-besaran yang bermula minggu lalu.
Ketika dikepung, penunjuk perasaan bertindak dengan membaling molotov koktel, memanah dan melempar bata ke arah anggota polis manakala anggota keselamatan membalas dengan ancaman menggunakan peluru hidup.
Sebahagian penunjuk perasaan melepaskan diri daripada pengepungan itu dengan turun menggunakan tali dari sebuah jambatan ke jalan raya.
Sebahagiannya menyusup ke dalam saluran pembetung untuk mencari jalan keluar.
Dalam usaha mengalih perhatian polis, puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kampus PolyU malam Isnin lalu ketika pertembungan serentak di daerah Kowloon berhampiran.
Konfrontasi berterusan di Hong Kong bertukar kepada krisis prodemokrasi paling ekstrem dan berpanjangan, yang menyaksikan jutaan penduduk berhimpun di jalanan sejak Jun lalu untuk menyuarakan kemarahan terhadap China kerana menghakis kebebasan di wilayah itu.
Dalam ulasan awam pertamanya berhubung krisis di PolyU, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam berkata, menyerah diri adalah satu-satunya cara untuk mencapai perdamaian.
“Objektif hanya dapat dicapai dengan kerja sama penuh penunjuk perasaan termasuk perusuh. Mereka perlu menghentikan keganasan, menyerahkan senjata dan menyerah diri secara aman dan patuh arahan polis,” katanya.
Lam memaklumkan sehingga kini lebih kurang 600 orang penunjuk perasaan telah meninggalkan kampus tersebut, termasuk 200 daripadanya yang berusia bawah 18 tahun.