Safawi Rasid patahkan sayap Garuda

Safawi Rasid patahkan sayap Garuda

Bagaimanapun, perlawanan Harimau Malaya dan Garuda malam ini dicemari suar yang dibaling ke arah penyokong Malaysia.

Muhammad Safawi Rasid. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jaringan penyerang Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid membenam hasrat Indonesia yang gagal mendapatkan sebarang mata dalam persaingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, apabila tewas 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Gawang Indonesia diceroboh jaringan pertama Safawi pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma. Sepakan deras kaki kirinya yang menewaskan penjaga gol Garuda memastikan Malaysia terus berada di depan pada minit ke-73.

Tekanan malam ini turut dirasai penyokong kedua-dua negara. Perlawanan malam ini dicemari sebatang suar yang dibaling ke arah penyokong Harimau Malaya apabila Malaysia mendahului 1-0.

Sebatang lagi suar dibaling ke arah penyokong Malaysia selepas pengadil meniup wisel penamat.

Pertemuan Malaysia-Indonesia malam ini merupakan pertembungan ke-97 sejak 1957.

Keputusan malam ini dilihat mencerahkan laluan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.