Lagi bangkai gajah Pygmy ditemui di Kinabatangan

Lagi bangkai gajah Pygmy ditemui di Kinabatangan

Ini adalah bangkai kedua gajah Pygmy yang ditemui di Kinabatangan dalam bulan ini dan Jabatan Hidupan Liar Sabah belum menerima maklumat terperinci mengenainya.

KINABATANGAN:
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga mengesahkan bangkai seekor lagi gajah Pygmy ditemui di Sukau, dekat sini, hari ini.

Ini adalah bangkai kedua gajah Pygmy yang ditemui di Kinabatangan dalam bulan ini dan beliau belum menerima maklumat terperinci mengenainya.

“Saya juga baru dimaklumkan mengenai penemuan bangkai itu dan tidak dapat memberikan apa-apa maklumat lanjut.

“Bagaimanapun, kita tunggu dahulu laporan daripada sepasukan pegawai JHL yang dalam perjalanan ke lokasi bangkai gajah ditemui untuk membuat siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Tuuga berkata, pihaknya akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan sebaik saja menerima laporan daripada pasukan JHL itu.

Bangkai seekor gajah jantan ditemui terapung di Sungai Kinabatangan pada 3 November lalu.

Sebelum ini, bangkai dua ekor gajah ditemui dengan kesan tembakan masing-masing di Sungai Dumpas di Kalabakan, Tawau pada 25 September lalu dan sebuah ladang sawit di Beluran pada 19 Oktober lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.