
Fifa berkata Wenger, 70, akan bertanggungjawab terhadap pembangunan bola sepak “lelaki dan wanita seluruh dunia” dan turut mengetuai “hal-hal teknikal dan penguatkuasaan” termasuk potensi perubahan dalam undang-undang sukan berkenaan.
Pengendali kelahiran Perancis itu yang meninggalkan Arsenal tahun lalu selepas 22 tahun bersama pasukan berkenaan, turut diberi tanggungjawab terhadap pendidikan kejurulatihan dan membantu membina program bagi menolong pemain memasuki arena pengurusan.
“Saya tidak sabar untuk memulakan tanggungjawab yang amat penting ini. Bukan saja kerana saya sentiasa minat untuk menganalisa bola sepak dari sudut yang lebih luas, tetapi kerana misi Fifa sebagai badan induk bola sepak dunia yang benar-benar global,” kata Wenger dalam kenyataan.
Wenger dilantik susulan peletakan jawatan Ketua Pengarah Fifa, Marco van Basten tahun lalu serta Timbalan Setiausaha Agung, Zvonimir Boban yang menjadi ketua pegawai bola sepak AC Milan pada Jun.
Khabar angin mengenai kepulangan semula Wenger ke arena pengurusan meningkat selepas dia menafikan dakwaan Bayern Munich, yang menyatakan kelab itu menolak cubaannya untuk menggantikan tempat Nico Kovac.
Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge kemudian berkata terdapat “salah faham” dan gergasi Bundesliga itu akan mengadakan pertemuan dua mata dengan Wenger “pada masa terdekat”.
Wenger dikaitkan dengan Bayern Munich kerana menunjukkan minat untuk menjadi pengurus pasukan tersebut, namun Bayern menolak dan menyatakan beliau tidak berada dalam pertimbangan pasukan berkenaan sebagai jurulatih.