
Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata, kerajaan negeri pada mulanya tidak bersetuju dengan langkah penempatan semula pejabat berkenaan, tetapi kemudiannya bersetuju untuk “berkompromi”.
Semalam ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menegaskan semula keputusannya menolak penempatan pejabat berkenaan dari Kuching ke Kota Kinabalu.
Ini berikutan mesyuarat pada 12 Nov lepas antara ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, anggota kanan badan kehakiman dan Abang Johari bagi mendapatkan persetujuan Sarawak berhubung langkah pemindahan itu yang dijadualkan pada 15 Nov.
Usul tersebut bagaimanapun ditolak apabila speaker DUN Sarawak Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, di bawah Perintah Tetap (2), usul berkenaan perlu dikemukakan 24 jam sebelum persidangan bermula.
Bercakap selepas majlis makan malam dengan penyokong Gabungan Parti Sarawak di sini malam tadi, Abang Johari berkata, lokasi pejabat pendaftar ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri setelah berunding dengan ketua menteri Sabah dan Sarawak serta ketua hakim Mahkamah Tinggi.
See bagaimanapun berkata, perubahan lokasi itu adalah bertentangan dengan perlembagaan, selain menambah bahawa apa-apa keputusan mengenainya hendaklah dibuat oleh Majlis Raja-raja.
Pada Mei, beberapa anggota kanan profesyen guaman Sabah dilaporkan menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan DUN Sarawak pada 30 Apr yang membantah pemindahan pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi dari Kuching ke Kota Kinabalu.
Menurut mereka, kedua-dua negeri mempunyai hak perlembagaan ke atas Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Menteri pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah menjangka langkah tersebut merupakan sebahagian daripada agenda untuk menimbulkan perselisihan antara dua negeri berkenaan.
“Hubungan Sabah dan Sarawak selama ini rapat, tetapi ketika pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan hak mereka, kedua-dua negeri itu mengambil pendirian berbeza.
“Terdapat ‘tangan-tangan kecil’ yang mahu Sabah dan Sarawak bergaduh,” katanya.