
Mohd Khairul Adib Abdul Rahman berkata, penjawat awam merupakan jentera kerajaan yang memerintah, dan juga penghubung antara pihak eksekutif, jabatan dan rakyat secara umumnya.
“Kita sebagai penjawat awam harus mencapai kehendak dan aspirasi kerajaan, tidak seharusnya mereka mempunyai tujuan peribadi. Tidak ada penjawat yang boleh merasakan dirinya hebat.
“Kita sebagai penjawat awam berikan perkhidmatan dan orang mengenali kita atas perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat. Namun saya tidak merujuk kepada mana-mana individu,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Intan Bukit Kiara hari ini.
Katanya, penjawat awam harus terus kekal bersifat neutral dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab tanpa memihak kepada mana-mana pihak atau parti-parti politik tertentu.
“Mesej saya adalah, ingat kembali kenapa kita berkhidmat. Kita penjawat awam, kita dibayar gaji oleh cukai daripada rakyat dan syarikat-syarikat. Jadi kita harus menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat,” katanya.
Khairul tidak menafikan ketika ini timbul persepsi buruk dan negatif terhadap penjawat awam secara umumnya, yang terpalit dengan isu-isu seperti tidak efektif dan tidak cekap dalam melaksanakan tugas.
“Kalau kita tengok dalam blog, majoriti komen kakitangan kerajaan tidak efektif. Jadi apakah yang kita lakukan? Jika kita tidak berfungsi maka rakyatlah yang akan menderita,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat penjawat awam terlibat dengan salah laku dan aktiviti tidak bermoral seperti rasuah.
“Undang-undang akan mengambil tempatnya, jika didapati bersalah biarlah undang-undang juga yang menentukannya,” katanya.
Khairul berharap semua penjawat awam dapat bersama-sama mendalami Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan bersama-sama membantu kerajaan melaksanakan dasar ini.
“Sebelum ini kita ada Wawasan 2020, kita harus bersama-sama dengan pemimpin dan rakyat, kita melaksanakan wawasan kerajaan. Sekarang kita ada misi baru, impian baru,” katanya.