
Mereka berkata, Adun Tanjung Bungah Zairil Khir Johari memilih untuk “menghujani mereka dengan kenyataan”, bukannya mendengar aduan yang dikemukakan.
Dalam pada itu, Adun Pulau Tikus pula melabelkan mereka “sama seperti kumpulan antivaksin” susulan bantahan penduduk terhadap menara tersebut,” kata mereka.
“Tiada sikap empati daripada kedua-dua mereka, hanya menghina,” kata Yap Choy Ying, yang mengetuai kumpulan penduduk dari Taman Concord, Lembah Permai dan orang ramai di bandar Tanjung Bungah memberitahu FMT.
Zairil, yang juga merupakan Exco negeri, baru-baru ini memberi jaminan kepada penduduk bahawa tinggal berdekatan menara sedemikian tidak mendatangkan bahaya.
Beliau juga meminta penduduk mengemukakan bukti kesan buruk daripada jabatan kerajaan atau doktor perubatan sekiranya mereka mengalami sakit disebabkan kewujudan menara telekomunikasi tersebut.
Yap berkata, dua menara itu ditempatkan berhampiran sebuah tangki bekalan air yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya.
Beliau berkata, menara tersebut sepatutnya dibina pada jarak 600 meter dari rumah penduduk.
“Saya mahu bertanya sama ada Zairil bersedia tinggal berdekatan menara telekomunikasi seperti saya. Atau beliau kini tinggal berdekatan menara sedemikian?,” katanya.
Beliau juga merujuk kepada satu menara telekomunikasi yang ditempatan berdekatan dengan tangki air Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang hanya diketahuinya awal tahun ini apabila kerja-kerja pembinaan menara baru itu bermula.
“Saya diberitahu mereka membina menara itu untuk empat syarikat perkhidmatan telefon bimbit,” katanya.

“Ketika membuat pemeriksaan di majlis bandar raya berhubung kebenaran pembinaan menara tersebut, mereka diberitahu bahawa lesen tersebut dikeluarkan pada Mei tahun ini. Namun begitu pembinaan menara itu bermula akhir tahun lepas. Bagaimana begitu?”
Yap juga mendakwa, kumpulan beliau menemui kajian atas talian yang membuktikan kesan negatif tinggal berdekatan menara telekomunikasi.
“Radiasi dari menara terlalu dekat, dan air tersebut digunakan oleh puluhan ribu orang yang tinggal di lembah ini,” katanya.
Beliau juga membidas Lee kerana menyamakan kumpulannya dengan kelompok antivaksin, sekali gus bertanya sekiranya beliau akan membuat kenyataan serupa jika melibatkan kawasan pilihan raya beliau.
“Menyamakan kami dengan kumpulan antivaksin tidak masuk akal,” katanya.
“Vaksin menyelamatkan nyawa. Frekuensi elektromagnet tidak.”
Dalam satu kenyataan akhbar semalam, Zairil berkata, beliau akan mengadakan dialog dengan penduduk pada Jan depan.
Katanya, masanya bergantung pada kesediaan pakar dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.