Hanya kekeliruan, KPN arah polis Johor betulkan kenyataan

Hanya kekeliruan, KPN arah polis Johor betulkan kenyataan

Polis tidak mahu ada sekatan politik tetapi mesti ada pertimbangan keselamatan.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengarahkan polis Johor membetulkan kenyataan berhubung isu pemberitahuan kempen rumah ke rumah, mengatakan ia menjadi isu kerana “kekeliruan”.

“Apa yang disebutkan itu hanya pengisian borang, di mana diisikan dengan butiran, nama orangnya dan alamat,” katanya pada sidang media di Jerantut, Pahang hari ini.

Hamid menjelaskan pemberitahuan itu dibuat atas dasar keselamatan, menegaskan beliau tidak mahu ada sekatan politik tetapi mesti ada pertimbangan keselamatan.

“Polis jangkakan perlu supaya nak elakkan pertembungan daripada pihak lain…takut berlaku dalam keadaan panas, itu kita bimbang.”

Isu pemberitahuan kempen rumah ke rumah menjadi isu susulan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya kelmarin, memaklumkan polis meminta semua pihak bertanding pada pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai supaya mendapatkan permit bagi kempen rumah ke rumah kerana ia juga suatu bentuk berkempen.

Peguam Negara Tommy Thomas hari ini berkata Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya tidak jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu.

Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din pada sidang media semalam berkata keperluan permit itu mengikut peruntukan Seksyen 24(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Menurut seksyen itu, acara yang memerlukan permit adalah perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka di mana ucapan atau syarahan hendak diberikan.

Permintaan mendapatkan permit untuk kempen rumah ke rumah mengundang bantahan pembangkang, mengatakan kenapa ia timbul semasa kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai sedang berjalan.

Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 juga menggesa SPR menolak peraturan itu, mengatakan Seksyen 24B hanya menetapkan calon perlu meminta permit untuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan yang dalamnya ada ucapan atau syarahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini menolak dakwaan permit rumah ke rumah itu keputusan saat akhir, mengatakan ia dibincangkan pada hari penamaan (2 Nov) antara polis, SPR dan ejen calon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.