
Adun Muara Tuang Idris Buang berkata, sebagai ahli dewan perundangan negeri mereka bertanggungjawab memastikan pelajar mendapat pendidikan yang sebaik mungkin.
“Kami terlibat dengan persatuan ibu bapa-guru bagi mendapatkan maklumat terkini tentang sekolah dan pelajar.
“Kami juga memberi bantuan berkait kegiatan pelajaran dan sukan, selain kerja-kerja pembaikan sekolah. Justeru kenapa pula kami dilarang daripada menghadiri atau merasmikan acara di sekolah apabila mereka memerlukan bantuan kami?”, katanya dengan menambah bahawa sekolah di kawasan beliau berdepan masalah berurusan dengan kerajaan persekutuan.
Menurut Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin, arahan tersebut dikeluarkan oleh Kabinet persekutuan.
Ia membenarkan pemimpin GPS memasuki kawasan sekolah, tetapi tidak membenarkan mereka membuat ucapan.
Bercakap selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, Idris berkata, sekiranya arahan itu benar-benar dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik atau kementerian beliau, maka ia dibuat dengan niat tidak baik.
Menyifatkan arahan itu sebagai “bodoh”, beliau berkata, ia akan menyebabkan sekolah dan pelajar terhalang daripada mendapat bantuan daripada kerajaan negeri.
“Arahan sedemikian tidak disokong oleh mana-mana undang-undang,” katanya.
“Ia mendiskriminasi dan menidakkan kebebasan rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan. Beginikah caranya federalisme diamalkan pada era Pakatan Harapan (PH)?”
Idris berkata, kerajaan pusat harus menghargai kesediaan Sarawak untuk membaik pulih sekolah di negeri itu walaupun bidang pendidikan merupakan tanggungjawab persekutuan.