
Operator lapangan terbang itu merupakan antara kaunter paling untung di bursa tempatan pada 11.50 pagi, menokok 10 sen kepada RM8.30, dengan 324,600 saham didagangkan.
Semalam, FAA mengesahkan Malaysia hilang penarafan keselamatan kategori 1 dan tidak lagi boleh membuka laluan baharu atau menambah perkhidmatan sedia ada ke Amerika Syarikat (AS).
Penerbangan Malaysia juga tertakuk kepada pemeriksaan tambahan di lapangan-lapangan terbang di AS.
Saham syarikat penerbangan tambah rendah, AirAsia Group Bhd, merosot tiga sen kepada RM1.89 dengan 5.78 juta saham bertukar tangan, manakala AirAsia X Bhd tidak berubah pada 17.5 sen.
Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah bagaimanapun berkata penurunan penarafan itu tidak menjejaskan ketibaan pelancong asing ke Malaysia.
Beliau menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia akan dapat mencapai sasaran ketibaan 30 juta pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, menerusi pelbagai pakej menarik yang ditawarkan.