
Gerakan yang dilancarkan oleh kumpulan wanita Women’s Aid Organisation (WAO) bertujuan menggalakkan penjagaan bersama ibu dan bapa selepas bersalin.
“Ramai rakyat Malaysia inginkan cuti paterniti dan kerajaan perlu menyahut hasrat ini,” kata Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Vishvanathan kepada pemberita di luar pintu masuk utama Parlimen hari ini.
Penyerahan petisyen itu diterima oleh Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Ketika ditemui pemberita, Kula Segaran berkata kementeriannya akan membawa cadangan tersebut ke perhatian Kabinet.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi pandangan berhubung cuti paterniti dalam sektor swasta namum tidak akan memberikan keputusan yang muktamad.
“Pada akhirnya, ia adalah terpulang kepada Kabinet,” katanya.
Petisyen yang dilancarkan pada Jun 2019 telah meraih 39,000 tandatangan melalui penyertaan atas talian dan sebanyak 426 atas kertas.
Pada 20 Jun lalu, Kementerian Sumber Manusia berkata kerajaan bercadang memperkenalkan cuti paterniti selama tiga hari kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta melalui pindaan Akta Kerja 1955.