
Bekas perdana menteri itu, yang mahu perbicaraan diadakan pada 13 Jan, menamakan pendakwa raya awam dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sebagai responden.
Beliau berkata perbicaraan mesti ditangguh kerana ia akan sangat memprejudiskan beliau dan peguamnya dalam menyediakan pembelaan dalam perbicaraan kes SRC International, yang dijadualkan dari 3 Dis hingga 19 Dis.
Najib berkata dia ada sehingga 2 Dis untuk menyediakan pembelaan bagi kes SRC itu dan peguamnya juga terlibat dalam perbicaraan rasuah 1MDB melibatkan RM2.28 bilion.
Katanya dalam afidavit yang dilihat FMT, bermulanya kes laporan audit 1MDB pada November, iaitu 18-20 Nov, akan menafikan beliau dan wakil undang-undangnya peluang untuk membuat persediaan dengan cukup dan berkesan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu FMT dia ada menerima salinan usul itu itu dan afidavit sokongan daripada Najib.
Beliau berkata mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar usul itu.
Awal hari ini, Hakim Mohamad Zaini Mazlan enggan membenarkan permohonan pendakwaan yang memohon kes mengubah laporan audit 1MDB ke tarikh lain.
Najib dituduh menggunakan jawatannya bagi mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang berhubung dakwaan beliau mengubah laporan audit 1MDB antara 22 dan 26 Feb 2016.
Kesalahan itu dikatakan berlaku di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam mengubah laporan itu sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Fasa kedua perbicaraan ini akan diadakan dari 13 hingga 17 Jan.
Pada Isnin, Najib diminta membela diri terhadap semua tuduhan pecah amanah, salahguna kuasa dan pengubahan wang berhubung pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari bekas unit 1MDB, SRC International.