
Perselisihan antara Sterling dan Gomez bermula ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Ahad lepas yang menyaksikan The Reds menang 3-0 ke atas City.
Perselisihan kedua-dua tonggak England itu bagaimanapun berlanjutan ke sesi latihan skuad The Three Lions semalam sehingga terpaksa dileraikan rakan sepasukan.
Pengurus England, Gareth Southgate dalam satu kenyataan berkata, salah satu cabaran besar dan berat buatnya adalah keupayaan untuk memisahkan pesaing dalam kelab daripada pasukan kebangsaan.
“Malangnya emosi perlawanan kelmarin masih belum berakhir. Pada saya, pasukan ini mengambil tindakan yang tepat.
“Keputusan sudah dibuat membabitkan persetujuan seluruh anggota skuad, ia amat penting untuk memberikan sokongan kepada pemain dan fokus kepada perlawanan Khamis nanti,” katanya.
Sterling, 24, antara bintang menyinar dalam kempen kelayakan England dengan lapan gol berjaya diciptanya dalam enam perlawanan sebelum ini.
England hanya perlu mencatat keputusan seri menentang Montenegro di Wembley bagi mengesahkan tempat di Euro 2020.