
Jika kita melihat nama yang diberi ibu bapa kepada anak yang baru sahaja lahir, mereka pasti akan memberi nama yang unik.
Kebiasaannya nama tersebut adalah gabungan nama ibu dan bapa, gabungan huruf di hadapan, atau ejaan nama yang sedikit dimodenkan namun memberi makna yang baik kepada bayi tersebut.
Ia berbeza dengan seorang bapa di Bangladesh apabila memberikan nama bayi perempuannya Bulbuli iaitu sempena taufan Bulbul yang membadai negara itu tengah malam kelmarin.
Bayezid Shikder berkata, dia memilih nama tersebut bagi mengenang isterinya, Homufa Begum yang hampir meninggal dunia ketika melahirkan bayi mereka.
Bayi berkenaan lahir di sebuah pusat pemindahan sementara di Mithakhali semalam ketika taufan ganas tersebut memaksa lebih dua juta penduduk berpindah.
Sementara itu, pegawai pengurusan bencana di Mongla, Md Rahat Mannan berkata, bayi berkenaan dalam keadaan sihat dan ibunya stabil.
“Semasa dibawa ke sini, Homufa dalam keadaan kritikal. Jadi kami memanggil doktor untuk memantau keadaannya,” ujar Md Rahat memetik Dhakatribune.com.
Taufan Bulbul dengan kelajuan angin 120 kilometer sejam (kmj) membadai kawasan pantai di Sundarbans, hutan bakau terbesar dunia yang terletak di Bangladesh dan timur India serta menempatkan spesies terancam termasuk harimau Bengal dan ikan lumba-lumba Irrawadi.
Setakat hari ini, lapan orang disahkan maut manakala jutaan lagi diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]