Pasukan keselamatan Iraq kuasai lokasi tunjuk perasaan, 7 terbunuh

Pasukan keselamatan Iraq kuasai lokasi tunjuk perasaan, 7 terbunuh

Pemimpin politik Iraq dilaporkan bersetuju untuk mempertahankan kerajaan sedia ada dan menamatkan tunjuk perasaan yang berlaku.

Pasukan keselamatan Iraq menembak peluru hidup dan gas pemedih mata bagi mengawal lokasi yang diduduki penunjuk perasaan. (Gambar AP)
BAGHDAD:
Tujuh penunjuk perasaan terbunuh Sabtu sewaktu pasukan keselamatan Iraq menguasai tapak bantahan di Baghdad dan Basra selepas pemimpin politik bersetuju mempertahankan kerajaan dengan semua cara yang mungkin.

Menurut sumber AFP, pemimpin terbabit juga bersetuju menamatkan perhimpunan yang menggegarkan ibu negara itu dan selatannya sejak 1 Okt bagi menuntut perubahan besar-besaran dalam kerajaan Iraq.

Langkah pembersihan itu bermula pada sebelah pagi apabila pasukan keselamatan menguasai semula tiga jambatan yang merentasi Sungai Tigris di tengah-tengah Baghdad daripada penunjuk perasaan.

Pasukan keselamatan Iraq kemudiannya bergerak ke arah Dataran Tahrir yang menjadi pusat gerakan bantahan berusia lebih sebulan bagi menuntut perubahan rejim itu dengan menembak peluru hidup dan gas pemedih mata.

Tiga penunjuk perasaan maut akibat tembakan peluru sementara seorang lagi mati apabila tabung gas pemedih mata menembusi tengkoraknya, kata sumber perubatan dan polis.

“Pasukan keselamatan semakin menghampiri kami tetapi penunjuk perasaan cuba menghalang pergerakan mereka dengan membakar tayar,” kata seorang doktor di Dataran Tahrir.

“Kami boleh mendengar tembakan peluru hidup. Ramai yang cedera.”

Tiga penunjuk perasaan terbunuh dan berpuluh-puluh cedera di Basra di selatan, kata sumber perubatan sewaktu pasukan keselamatan menguasai satu kem penunjuk perasaan di luar ibu pejabat kerajaan wilayah.

Pasukan keselamatan juga mengepung satu kumpulan penunjuk perasaan di Basra.

Di kota suci pengikut mazhab Syiah di Kerbala, di selatan Baghdad, khemah penunjuk perasaan terbakar hangus apabila pasukan keselamatan menembak gas pemedih mata ke arah mereka.

Pertumpahan darah itu berlaku berikutan keputusan pemimpin politik untuk menyokong Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi yang pentadbirannya digugat oleh protes akar umbi paling besar dan berbahaya sejak beberapa tahun lepas.

Abdel Mahdi, 77, memperoleh kuasa tahun lepas berikutan pakatan lemah antara ulama popular Moqtada al-Sadr dengan Hadi al-Ameri, pemimpin rangkaian separa tentera Hashed al-Shaabi.

Apabila protes meletus pada Okt, Moqtada memberikan sokongan kepada mereka, sementara Hashed menyokong kerajaan.

Bagaimanapun mereka mencapai kata sepakat menyokong perdana menteri minggu ini berikutan beberapa pertemuan dengan Mejar Jeneral Qasem Soleimani, ketua sayap operasi antarabangsa Pengawal Revolusi Iran.

Soleimani, yang kerap memainkan peranan sebagai pengantara sewaktu berlakunya krisis di Iraq, menemui Moqtada dan memintanya kembali ke meja rundingan, kata sumber yang menghadiri pertemuan tersebut.

Moqtada kini dilaporkan berada di Iran.

Sumber juga memberitahu bahawa Soleimani bertemu Mohamaed Ridha Sistani, anak ulama tertinggi Syiah di Iraq, Ayatollah Ali Sistani.

Bagaimanapun pada Sabtu, pejabat Sistani mengeluarkan kenyataan menafikan golongan ulama “merupakan sebahagian daripada perjanjian untuk mengekalkan kerajaan sedia ada dan menamatkan protes”.

Sumber lain berkata, kumpulan politik bersetuju minggu ini untuk meneruskan pembaharuan dan pindaan perlembagaan sekiranya perdana menteri dan kerajaan kekal berkuasa.

“Mereka bersetuju untuk menamatkan protes melalui semua cara yang mungkin, membuka semula jambatan dan jalan raya yang ditutup,” kata anggota kanan sebuah parti yang hadir pertemuan tersebut.

Abdel Mahdi menemui Presiden Bahram Saleh pada Sabtu buat kali pertama dalam tempoh beberapa hari. Sumber kerajaan memberitahu hubungan antara dua pemimpin itu terputus selepas Saleh mencadangkan supaya perdana menteri diganti.

Pada Sabtu, Parlimen menyambung persidangan bagi membincangkan cadangan pembaharuan, termasuk menambah bayaran bantuan.

Dalam pada itu jalan raya di sekitar Tahrir berada dalam keadaan kacau bilau.

“Pasukan keselamatan memberitahu bahawa protes telah berakhir dan semua perlu kembali ke rumah masing-masing,” pekik seorang penunjuk perasaan.

“Tetapi kami bina lebih banyak hadangan supaya mereka tidak masuk ke Tahrir. Esok, tiada sesiapa akan pergi kerja.”

Penunjuk kini berundur tetapi mereka masih menduduki sebahagian daripada Jambatan Jumhuriyah yang paling hampir dengan Tahrir.

“Kedudukan kami sebagai penunjuk perasaan kini tidak baik, tetapi kami akan bertahan sehingga satu penyelsaian ditemui,” kata seorang penunjuk perasaan.

Menurut tinjauan AFP, kira-kira 300 orang terbunuh dalam protes. Kerajaan bagaimanapun tidak lagi mengeluarkan angka rasmi berhubung perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.