Kementerian rancang ubah dasar subsidi untuk petani

Kementerian rancang ubah dasar subsidi untuk petani

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merancang mengubah dasar subsidi melalui pemberian terus subsidi kepada petani berdasarkan hasil keluaran.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang merancang mengubah dasar subsidi melalui pemberian terus subsidi kepada petani berdasarkan hasil keluaran bagi membantu golongan itu, selain dapat mengurangkan harga barangan makanan di pasaran.

Timbalan Menteri Sim Tze Tzin berkata walaupun lebih RM2 bilion subsidi diberikan kerajaan setiap tahun seperti subsidi racun dan baja kepada mereka dengan harga barangan makanan yang tinggi di pasaran, golongan berkenaan masih hidup dalam kesusahan.

Katanya, ini berlaku kerana dipercayai wujud penyelewengan kuasa dan kartel dalam sektor pertanian.

“Kita tengah dalam proses perbincangan dan perancangan untuk mengubah subsidi daripada input subsidi kepada output subsidi (berdasarkan hasil keluaran). Ini polisi yang kita harap merancakkan dan memberi kuasa kepada petani untuk memilih yang terbaik demi pertanian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jalinan Mesra Peladang 2019 yang dirasmikan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dalam pada itu, Sim berkata golongan petani perlu mengambil peluang meningkatkan pengeluaran di pasaran sekali gus menjana pendapatan tinggi berdasarkan situasi semasa negara yang ketika ini mengimport RM52 bilion makanan setahun.

Katanya, negara pada masa ini mengimport antaranya daging lembu dan kerbau sebanyak RM2.4 billion, ikan segar (RM2.1 bilion), dan cili (RM244 juta).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.